PETALING JAYA – Tiga lelaki warga asing berdepan hukuman mati di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja lebih 200 gram di sebuah kondominium dua minggu lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan daripada Hussein Mohamed Ali, 30, dan Ahmed Mohamed Qasem, 23, yang kedua-duanya merupakan warga Yemen serta Reda Hassan Ameen Mohamed, 30, yang merupakan warga Sudan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.
Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati yang mana ia dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa telah mengedar dadah berbahaya jenis Kanabis (ganja) anggaran berat 205 gram di sebuah unit kondominium di Jalan Persiaran Surian di sini pukul 8.30 malam pada 22 Mei lalu (2022).
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan dibawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39b(2) dan dibaca bersama di bawah seksyen 34 kanun keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat manakala peguam Mohd. Ruzaini Zulkifli mewakili Hussein Mohamed dan Ahmed Mohammed manakala Reda Hassan diwakili peguam Shahrul Amali Shafie.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Ogos ini untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.
Kosmo! Online 23 Mei lalu, melaporkan polis berjaya memberkas lima lelaki warga asing kerana disyaki terlibat aktiviti pengedaran dadah menerusi serbuan berasingan sekitar kondominium Sri Hartamas dan Petaling Jaya, di sini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, serbuan pertama dijalankan pada pukul 6.15 petang di kawasan tempat letak kereta kondominium terbabit.
“Hasil siasatan lanjut, serbuan kedua dijalankan di sebuah kondominium sekitar Petaling Jaya pada pukul 8.30 malam yang mana polis memberkas tiga lagi lelaki warga asing,” katanya.
Mengulas lanjut, hasil pemeriksaan di premis terbabit polis menemui 10 ketulan daun kering ganja dan satu bungkus ceraian daun yang sama seberat 205 gram.
Jelasnya, nilai keseluruhan rampasan dadah adalah sebanyak RM3,250 yang boleh dibekalkan kepada 2,400 pelanggan. – KOSMO! ONLINE