fbpx

Wabak demam berdarah menular di Iraq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG doktor memeriksa pesakit CCHF di sebuah hospital di wilayah Dhi Qar, selatan Iraq pada 25 Mei lalu. - AFP

BAGHDAD – Iraq dilanda wabak demam yang menyebabkan orang ramai mati akibat pendarahan teruk, demikian menurut media tempatan seperti yang dilaporkan laman berita Wion News kelmarin.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan, penyakit membawa maut itu dinamakan demam berdarah Crimea-Congo (CCHF) dan telah meragut 9 nyawa dengan 111 kes direkodkan  di Iraq sepanjang tahun ini.

Penyakit itu pantas menular di kawasan pedalaman dengan wilayah selatan merekodkan separuh daripada keseluruhan kes yang direkodkan di Iraq.

Menurut pihak berkuasa perubatan, virus CCHF menyebabkan pendarahan teruk di luar dan di dalam badan pesakit terutama­nya hidung. Sebanyak dua perlima daripada keseluruhan kes CCHF menyebabkan kematian.

“Bilangan kes demam berdarah yang dikesan adalah di luar jangkaan sama sekali,” kata pegawai perubatan wilayah Dhi Qar, Haidar Hantouche kepada agensi berita AFP.

Peningkatan mendadak jangkitan pada tahun ini mengejutkan pegawai-pegawai kesihatan kerana jumlahnya adalah jauh lebih tinggi daripada bilangan kes yang direkodkan sejak virus itu pertama kali ditemui di Iraq dalam tahun 1979.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), CCHF berpunca daripada jangkitan kutu yang membawa virus tersebut.

Pertama kali ditemui di Semenanjung Crimea pada 1944 dan dinamakan demam berdarah Crimea, penyakit itu kemudian dikenal pasti sebagai penyebab demam berdarah di Congo dalam tahun 1969, justeru namanya ditukar kepada CCHF. 

CCHF ditemui di Benua Afrika, Asia, rantau Asia Barat dan Balkan.

“Haiwan dijangkiti oleh gigitan kutu yang membawa virus CCHF.

“Virus CCHF kemudian dipindahkan kepada manusia sama ada melalui gigitan kutu atau melalui sentuhan dengan darah haiwan atau tisu yang dijangkiti selepas penyelembelihan,” kata WHO.

Agensi kesihatan antarabangsa itu menyatakan, kebarangkalian CCHF membawa maut adalah antara 10 hingga 40 peratus.

Belum ada vaksin untuk mencegah virus itu dan penularannya juga pantas. Menurut CDC, kesan jangka panjang CCHF belum dikaji secara menyeluruh dalam kalangan bekas pesakit bagi mengenal pasti sama ada wujud kesan sampingan. Namun, pesakit mengambil masa agak lama untuk sembuh.

Berikutan virus itu berjangkit kepada manusia melalui kutu yang menjangkiti haiwan ternakan, kebanyakan kes CCHF dikesan dalam kalangan petani, pekerja rumah sembelihan dan doktor haiwan, demikian menurut maklumat WHO.

Di samping pendarahan tidak terkawal, CCHF juga menyebabkan demam teruk dan muntah.

“Orang ramai kini takut untuk makan daging lembu kerana menganggap ia boleh menyebarkan jangkitan CCHF,” kata Pengarah Hospital Veterinar Najaf, Fares Mansour. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI