fbpx

Untung TNB turun 10.5 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Keuntungan selepas cukai Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi suku pertama tahun kewangan 2022 merosot 10.5 peratus kepada RM0.9 bilion.

Pendapatan Kumpulan bagaimanapun meningkat 36.4 peratus kepada RM15.7 bilion, didorong peningkatan empat peratus dalam permintaan elektrik di Semenanjung.

Menurut TNB dalam satu kenyataan hari ini, jualan elektrik lebih tinggi sejajar dengan fasa peralihan ke endemik dan pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak lima peratus bagi suku pertama tahun 2022.

“Ini didorong penggunaan elektrik lebih tinggi yang direkodkan oleh pelanggan komersial dan domestik setelah aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi semula.

“Sementara itu, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dilaporkan pada RM5.1 bilion, manakala margin EBITDA ialah 32.8 peratus disumbangkan oleh perbelanjaan operasi yang meningkat sebanyak 64.1 peratus berikutan kenaikan harga bahan api.

“Kos penjanaan tenaga, termasuk kos bahan api, membentuk lebih 65 peratus daripada tarif asas dan kenaikan harga bahan api fosil, terutama arang batu telah meningkatkan kos penjanaan tenaga negara,” katanya.

Baharin Din

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, biarpun dalam tempoh sukar, pihaknya terus melaksanakan peranan sebagai pembekal elektrik negara dan sentiasa memastikan rakyat mendapat akses kepada tenaga berdaya harap pada harga berpatutan.

Bagi menangani isu kenaikan harga bahan api fosil, Baharin menjelaskan, TNB bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memastikan kebajikan golongan yang memerlukan dilindungi, di samping menjaga kesinambungan rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

“Kerajaan berterusan mengekalkan IBR dan berjaya membendung impak turun naik harga bahan api melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT).

“Sejak pengenalan rangka kerja IBR, RM8.6 bilion rebat ICPT telah dinikmati pengguna, di samping RM5.3 bilion surcaj yang dilepaskan kepada mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI