fbpx

Stok uranium diperkaya Iran 18 kali ganda daripada had dibenarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR yang diedarkan pada 8 Oktober 2021 menunjukkan Loji Tenaga Nuklear Bushehr di bandar Bushehr, Iran, - AFP

TEHERAN, Iran  – Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memberi amaran bahawa jumlah stok uranium diperkaya dalam simpanan Iran kini 18 kali ganda melebihi had yang ditetapkan semasa perjanjian nuklear 2015, lapor laman berita Wion News kelmarin.

IAEA dalam laporannya me­nyatakan, stok uranium diperkaya Iran mencecah 3,809.3 kilogram, sedangkan had ditetapkan dalam perjanjian nuklear 2015 dengan Teheran cuma 300 kilogram.

Pengayaan uranium pada tahap 90 peratus diperlukan untuk membuat bom nuklear. Perkembangan itu berlaku walaupun Teheran masih meneruskan run­dingan dengan kuasa Barat bagi menghidupkan semula perjanjian nuklear 2015 yang tergendala sejak Mac lalu.

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membawa AS keluar daripada perjanjian nuklear itu dan melaksanakan sekatan ketat ke atas Iran. Teheran menegaskan bahawa sekatan itu perlu dimansuhkan sebagai syarat untuk menghidupkan kembali persetujuan nuklear  Barat-Iran yang dimeterai pada 2015. Bagaimanapun, rundingan me­ngenainya terus buntu.

Menteri Luar Iran,  Hossein Amir-Abdollahian berkata, pentadbiran Presiden Joe Biden perlu menamatkan ‘dasar tekanan maksimum era Trump’ terhadap Iran. Pentadbiran Biden bagaimanapun tetap melaksanakan sekatan ke atas rangkaian yang disokong oleh unit Pengawal Revolusi Iran dan pegawai-pegawai Rusia yang didakwa meneruskan mengeksport minyak di sebalik sekatan oleh Washington.

Kementerian Luar Iran me­nyatakan, sekatan baharu AS itu adalah ‘lanjutan dasar sama yang telah gagal’. Ketika rundingan untuk menghidupkan kembali perjanjian nuklear Barat-Iran terus buntu, pegawai AS mengenai Iran, Rob Malley berkata, run­dingan berkaitan perjanjian itu mungkin akan gagal.

“Kebarangkalian kejayaan untuk menghidupkan kembali perjanjian nuklear Iran adalah lebih rendah daripada kebarangkalian kegagalannya kerana tuntutan melampau Teheran yang kita (AS) tidak akan penuhi,” kata Malley kepada wakil-wakil rakyat AS sambil menambah, Washington akan menolak tuntutan yang keterlaluan. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI