fbpx

Shiha selayaknya menang, Khai rampas semula takhta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAI Bahar dan Shiha Zikir mengungguli malam Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021) yang berlangsung Ahad lalu.

“SAYA terkesima dan seakan-akan rasa ini semua mimpi. Alhamdulillah atas kepercayaan dan kemenangan terindah ini.”

Demikian respons spontan selebriti versatil Shiha Zikir saat disapa barisan media usai dijulang sebagai pemenang kategori utama Top Top MeleTOP Wanita pada Anugerah MeleTOP 2021 (AME2021) malam Ahad lalu.

Shiha yang langsung tidak malu menumpahkan air mata di depan ramai menganggap kejayaan yang diterimanya sebagai satu kemenangan terindah sepanjang lebih sedekad bergelar anak seni.

Ujarnya, perjalanan seninya selama ini bukanlah untuk mengharapkan balasan apatah lagi habuan besar, tetapi penghargaan sedemikian membuatkan dia berasa dirinya ‘wujud’ dalam industri.

UJAR Shiha, kemenangan yang dinobatkan menjadi penguat semangat dan sumber inspirasi buat dirinya dalam karier seni. Foto – ASTRO

“Jujur sepanjang 12 tahun saya bertatih dan bertapak dalam industri, tak pernah saya harapkan untuk menang apa-apa anugerah.

“Tercalon pun kadang-kadang saya rasa tak percaya dan belum cukup layak. Inikan pula dinobatkan sebagai pemenang utama, rasa diri ini kerdil sangat.

“Apapun saya percaya kepada rezeki dan aturan Allah SWT. Kalau Tuhan kata memang rezeki saya, lambat atau cepat tetap menjadi rezeki kita,” tuturnya.

Intai pasaran luar

Meneruskan kata-kata, Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd. Zikir berkata, kemenangan yang dianugerahkan itu membuatkannya lebih semangat bekerja dalam industri seni yang dicintai.

Katanya, selain memberikan yang terbaik dalam setiap apa yang dilakukan seperti menyanyi, berlakon dan mengacara, dia juga mahu terus memperluaskan jenama Shiha Zikir ke luar negara.

Buktinya, hujung tahun lalu sahaja namanya pernah diangkat sebagai Malaysia Model Star Award pada acara Anugerah Asia Model Festival di Korea Selatan.

SHIHA dan Khai menjadi artis yang paling mendominasi malam AME2021 baru-baru ini.

“Jujur saya katakan, saya belum pernah menang apa-apa anugerah di negara sendiri. Tercalon itu ada.

“Jadi kemenangan malam tadi (kelmarin) seakan-akan sukar untuk saya percaya. Bakat yang saya curahkan selama ini sebenarnya diperhati dan diterima.

“Perihal untuk kembangkan nama di luar negara memang ada dalam perancangan. Bukan sekadar Korea, insya-Allah kalau ada rezeki ke negara lain juga,” katanya.

Rampas takhta

Malam kemuncak AME2021 turut menyaksikan penyanyi kesayangan ramai, Khai Bahar dinobatkan sebagai Top Top MeleTOP Lelaki.

Kemenangan tersebut sekali gus merampas semula takhta dan kedudukannya sebelum ini yang diisi penyanyi muda berbakat Haqiem Rusli.

Kata Khai, tiada apa yang boleh diungkapkan selain ucapan terima kasih dan tanda penghargaan buat semua peminat yang setia dengannya.

Selain membawa pulang trofi dan wang tunai bernilai RM10,000 bagi kategori utama, Khai juga turut memenangi dua kategori lain iaitu Penyanyi MeleTOP dan Program MeleTOP: Konsert Minggu Ini #123.

PENGACARA terkenal Datuk Aznil Nawawi menerima penghargaan apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Khas AME2021.

“Syukur atas kemenangan ini. Terima kasih buat semua peminat. Mereka yang banyak mengundi untuk saya sampai ke tahap ini.

“Kalau ditanya, saya pun kadang-kadang terfikir masih ada ramai artis lain yang layak. Tetapi, kalau dinamakan rezeki, saya harus terima,” katanya.

Terdahulu Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 28, pernah merangkul kategori utama tersebut sebanyak dua kali iaitu pada 2018 dan 2019.

Ujar pelantun lagu Bayang itu lagi, dengan kemenangan yang diperolehi, tiada apa yang boleh dijanjikan selain terus memberikan yang terbaik dalam karier seninya.

“Kemenangan ini menjadi penguat semangat dan dorongan buat saya untuk terus lebih fokus ke hadapan.

“Saya percaya, menang atau kalah bukan keutamaan, tetapi kepercayaan peminat itu menjadi tanggungjawab untuk kita galas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI