KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon enggan menggunakan sebarang sentimen menjelang aksi menentang bekas pasukan bimbingannya, Hong Kong pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini.
Sebagai rekod, Pan-gon pernah membimbing pasukan Hong Kong sebanyak dua kali dalam kariernya iaitu pada 2009 hingga 2010 sebelum kembali pada 2012 hingga 2017.
Pengendali import dari Korea Selatan itu mengakui, tiada guna memikirkan tentang emosi dan sebagainya, sebaliknya perlu fokus mengenai persiapan terakhir pasukan sebelum mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2023 minggu depan.
“Secara jujur, saya tidak memikirkan tentang sentimen menentang bekas pasukan. Apa lebih penting memastikan pasukan bersedia sepenuhnya sebelum mengharungi ujian sebenar pada kelayakan Piala Asia nanti.
“Di atas kertas, kita boleh lihat kualiti pada pasukan Hong Kong setara dengan kita. Sudah tentu saya cukup teruja untuk menentang mereka sebagai aksi pemanas badan terakhir,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Sementara itu, Pan-gon mengakui masih belum mempunyai bayangan kesebelasan utama yang akan diturunkan kerana semua 30 pemain yang berada dalam kem latihan pusat ketika ini memberikan 100 peratus di atas padang.
“Buat masa ini tiada pemain yang sah berada dalam kesebelasan utama kerana mereka semua masih dalam proses penilaian daripada barisan kejurulatihan.
“Secara jujur, saya tidak boleh membuatkan semua pemain gembira kerana akhirnya hanya 11 pemain yang diturunkan dengan beberapa pemain gantian. Namun, saya percaya siapa sahaja diturunkan pasti akan berikan yang terbaik,” katanya.