PETALING JAYA – Gara-gara sering menayang badan dalam media sosial, penyanyi kacak Noki K-Clique mengakui tidak henti-henti menerima gangguan peminat daripada pelbagai lapisan umur.
Lebih mengejutkan kata Noki, ada juga segelintir pengikut yang berani mengajaknya untuk bermesra sampai ke kamar tidur.
Akui Noki atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan Aji, mesej berbaur lucah yang diterima itu berkemungkinan disebabkan perbuatan sendiri yang sakan menayang sosok tubuh dalam media sosial.
“Jujur macam-macam mesej saya terima daripada makcik, perempuan, lelaki dan pelbagai orang.
“Paling ekstrem ada yang sampai hantar gambar bogel berulang kali dan ada yang ajak bermesra sampai ke katil.
“Tapi macam saya katakan, benda yang negatif dan buruk akan saya delete (padam), mana yang baik saya akan layan dan balas.
“Lagipun saya rasa ini salah saya juga sebab selalu ‘belanja’ gambar badan. Insya-Allah lepas ini saya akan ubah perkara tersebut supaya tak berulang lagi kejadian sama,” katanya.
Noki, 28, ditemui usai memenangi kategori Grup/Duo MeleTOP bersama Shiha Zikir menerusi lagu AEWO pada Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021) malam Ahad lalu.
Dalam perkembangan lain, menjawab pertanyaan mengenai perubahan bentuk badannya yang kelihatan semakin susut, Noki berkata, dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak tujuh kilogram demi filem sulungnya, War On Terror.
Selain Noki, filem arahan Kroll Azry itu turut menampilkan lakonan Aedy Ashraf, Farali Khan, Qi Razali dan ramai lagi. – KOSMO! ONLINE