fbpx

Pasangan muda syukur dapat tunai haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUUR HIDAYAH dan Mohd. Shaiful mengemas beg sebagai persiapan ke Mekah pada 9 Jun ini ketika ditemui di rumahnya di George Town semalam.

GEORGE TOWN – Pasangan suami isteri muda tidak menyangka yang mereka terpilih untuk me­nunaikan ibadah haji di Tanah Suci tahun ini sekali gus menganggap sebagai ketentuan yang ditadkirkan-Nya di saat menantikan cahaya mata sulung sejak empat tahun lalu.

Nuur Hidayah Shamsudin, 34, berkata, dia dan suami, Mohd. Shaiful Jamalamree, 37, sehingga hari ini masih terkejut sejurus menerima surat mengerjakan rukun kelima itu pada 17 Mei lalu di rumah keluarganya di Bayan Baru.

Menurutnya, ini merupakan panggilan kedua setelah dia menolak tawaran kali pertama pada tahun 2011 disebabkan faktor usia ketika sedang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Lumut, Perak.

“Saya masih terkejut dan berasa sebak sebaik menerima panggilan menjejak kaki ke Mekah tahun ini dalam tempoh yang singkat dua minggu lalu.

“Memang tidak sangka apabila nama terpilih sekali lagi memandangkan saya tidak pernah membuat sebarang rayuan atau penangguhan ketika menolaknya pada usia 23 tahun.

“Saya percaya, perancangan Allah adalah yang terbaik dan tepat. Panggilan haji kali ini ketika saya sudah pun bergelar isteri sekaligus dapat mengerjakan ibadah bersama suami tercinta,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dalam pada itu, Nuur Hidayah yang juga anak bongsu daripada empat beradik memberitahu, ini juga merupakan berkat doa daripada ibu bapanya iaitu Shamsudin Mahfodz , 72, dan Noriah Jaafar, 68, untuk melihat salah seorang daripada anak mereka menunaikan ibadah haji.

“Dia (Allah SWT) jemput kami ke sana (Mekah) tepat pada waktunya iaitu ketika kami benar-benar mengimpikan cahaya mata pertama setelah empat tahun mendirikan rumah tangga.

“Saat menjalani ibadah haji nanti, kami mahu memohon doa agar dikurniakan penyeri sulung yang sudah sekian lama dinanti-nantikan termasuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa dan keluarga,” ujarnya sebak.

Sementara itu, kata Mohd. Shaiful, ketika ini kira-kira 80 peratus persiapan termasuk penyediaan kelengkapan serta pakaian sudah siap dilakukan sejak minggu lalu.

“Meskipun satu keputusan yang mengejut, namun dianggap sebagai rezeki daripada-Nya dan akan dijadikan bekalan untuk di dunia dan akhirat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI