KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya berjaya menundukkan Hong Kong 2-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Pada aksi malam ini, skuad negara kendalian Kim Pan-gon mempertaruhkan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan lapan pemain kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai tunjang utama pasukan.
Skuad Hong Kong kendalian Jorn Andersen turut meletakkan pemain utama dengan tiga tonggak naturalisasi menjadi taruhan seperti Paulo Cesar, Matthew Orr dan Jahangir Khan.
Namun, skuad Malaysia dilihat lebih banyak mendominasi saingan dengan jentera serangan yang diketuai oleh Safawi Rasid melakukan rentetan serangan berbahaya ke kubu pasukan lawan.
Tuah akhirnya menyebelahi skuad negara selepas dihadiahkan sepakan penalti apabila Akhyar Rashid dijatuhkan pada minit ke-30 yang berjaya disempurnakan oleh Safawi Rasid.
Skuad kebangsaan terus ghairah untuk menggandakan kelebihan dengan peluang terbaik hadir menerusi tandukan Darren Lok tetapi sedikit tersasar sekali gus saingan pada babak pertama kekal berkesudahan 1-0.
Bersambung pada babak kedua, Pan-gon melakukan rombakan dalam kesebelasan utama dengan memasukkan dua pemain naturalisasi negara, Guilherme de Paula dan Mohamadou Sumareh selain Safiq Rahim serta Faisal Halim.
Bagaimanapun, skuad negara berjaya mengesahkan kemenangan berharga hasil sepakan percuma yang dilakukan oleh Safiq pada minit ke-90 sekali gus menyaksikan badi tanpa kemenangan ke atas Hong Kong sejak 2012 berakhir.
Keputusan tersebut pasti menaikkan motivasi pasukan yang kini sedang mengharungi persiapan terakhir sebelum mengharungi aksi Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 yang bermula 8 Jun depan. – KOSMO! ONLINE