GEORGE TOWN – Seorang pemuda berusia 22 tahun dikhuatiri lemas setelah dikatakan terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang di kilometer 2.2 menghala ke arah pulau di sini pagi tadi.
Mangsa sebelum itu dipercayai telah meninggalkan sebuah kereta jenis Peugeot berwarna merah bersama barangan peribadi di tepi tembok jambatan pertama berkenaan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku kira-kira pukul 5.39 pagi tadi dan tiba ke situ kurang 10 minit kemudian.
Menurutnya, tindakan pasukan bomba adalah membuat pemantauan dari atas jambatan bagi mengesan kedudukan mangsa namun dikhuatiri telah dihanyutkan arus laut.
“Kerja-kerja mencari dan menyelamat sedang dijalankan dan Pos Kawalan Bomba (PKB) telah dibuka di Jeti Pengkalan Marin JBPM Mak Mandin di Butterworth.
“Laporan berhubung status kejadian tersebut akan dikemaskini dari masa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Untuk rekod, kejadian mangsa terjun jambatan hari ini adalah kali yang ke-16 sejak Januari lalu dan pertama bagi bulan Jun.
Pada 25 Mei lalu, mayat seorang wanita muda yang juga pemandu kereta jenis Perodua Axia akhirnya ditemui selepas hampir 33 jam dilaporkan terjatuh dari kilometer 8.0 Jambatan Pulau Pinang kira-kira pukul 12.39 tengah hari.
Mangsa, Neoh Hui Wen, 22, dijumpai dalam keadaan terapung dan masih lengkap berpakaian di kawasan perairan berhampiran resort Pulau Jerejak. KOSMO! ONLINE