SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan (KPM) disarankan sekali lagi lebih proaktif dalam menyelesaikan masalah tunggakan berdasarkan Pelarasan Gaji Minima (PGM) dengan segera.
Pengerusi Persatuan Kontraktor Selangor (Pekkops), Razalee Ahmad berkata, ini susulan khabar angin ramai kontraktor ingin menarik diri disebabkan tidak mampu membayar gaji minima RM1,500.
Katanya, situasi ini pasti memberikan kesan kepada tahap kebersihan sekolah akibat kekurangan pekerja yang beralih ke sektor lain.
“Ada juga pekerja yang berhenti kerja kerana mereka tidak mahu gaji RM1,200 dan menyertai sektor pekerjaan lain yang mampu membayar RM1,500.
“Ini tidak baik dalam industri pembersihan tambah lagi dalam keadaan wujudnya penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang memerlukan ramai pekerja bagi memastikan kebersihan sekolah,” katanya ketika mengetuai sekumpulan kontraktor Pekkops bertemu pihak JPN hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan kira-kira 2,000 ahli Persatuan Gabungan Kontraktor Kebersihan Bangunan Dan Kawasan (KBK) 1Malaysia merayu kerajaan menyegarakan tunggakan gaji bagi dua tahun bermula 2019.
Ini melibatkan anggaran tunggakan bernilai RM165 juta disebabkan oleh pelaksanaan gaji minimum yang bermula daripada RM1,100 pada tahun 2019 dan RM1,200 untuk 2020. -KOSMO!ONLINE