SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, masyarakat dilambakkan dengan pelbagai bahan promosi memaparkan ramai selebriti tanah air menjadi duta produk kesihatan atau melahirkan jenama mereka sendiri.
Ada yang dikecam dan ditegur kerana dikatakan tidak mempunyai ilmu mendalam mengenai produk yang dijual.
Lebih kecoh apabila terdapat golongan profesional yang terdiri daripada doktor dan pakar kesihatan termasuk Pakar Perunding Perubatan dan Pakar Nefrologi Hospital Putrajaya, Dr. Rafidah Abdullah yang menyelar sikap segelintir selebriti mempromosi produk secara ‘membabi buta’ tanpa mengetahui kesan sampingan kepada para pengguna.
Ditebak tentang hal sama, pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi yang juga duta kepada jenama makanan kesihatan Eskayvie, mahu golongan selebriti mempunyai ilmu sebelum mempromosikan mana-mana produk suplemen atau berkaitan perubatan.
Ikuti temu bual bersama bekas pengacara program realiti terkenal, Akademi Fantasia yang mesra disapa sebagai Pak Nil itu tentang golongan selebriti sebagai duta makanan tambahan selain mengenai keputusannya untuk memperlahankan perjalanan kariernya.
KOSMO!: Apa pendapat Pak Nil tentang terdapat segelintir artis menjadi duta produk makanan tambahan tetapi kurang ilmu mengenainya?
AZNIL: Saya menghormati tindakan Dr. Rafidah menegur artis yang mewakili atau mengeluarkan sesuatu produk kerana sekurang-kurangnya kita ada pemantau atau ‘mata-mata’. Namun, jangan hina artis kerana mereka perlukan sumber pendapatan. Pada masa sama, pengetahuan tentang produk serta kesannya juga penting. Setiap artis yang bertindak sebagai duta atau mengeluarkan produk (khususnya suplemen kesihatan) tak boleh kata produk mereka boleh menyembuhkan sesuatu penyakit.
Mengapa seseorang artis mahupun sesiapa sahaja yang menjadi duta atau jurucakap perlu mempunyai ilmu dan berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan?
Bagi saya, pengetahuan sangat penting dan jangan sesekali lakukan promosi berlebih-lebihan atau salah fakta kerana tanpa sedar akan menyebabkan pesakit tidak mahu jumpa doktor lagi. Walaupun sebagai duta suplemen kesihatan, kita perlu ingatkan orang ramai jangan sesekali tinggalkan ubat doktor dan temu janji hospital.
Setiap individu tidak boleh culas soal ini. Ubat adalah bahan yang membantu menyembuhkan, manakala suplemen pula untuk mempercepatkan penyembuhan dan bukan memulihkan penyakit.
Sebagai seorang duta jenama makanan kesihatan, adakah Pak Nil percaya dengan keberkesanannya?
Kalau saya memang pengguna tegar makanan tambahan dan suplemen sekalipun, itu kerana saya sedar gaya hidup dan pemakanan seperti pengambilan sayur serta buah tidak mencukupi dan memerlukan nutrisi sokongan. Sekiranya saya bukan pengguna dan tak percaya dengan produk ini, saya tak akan menjadi duta produk Eskayvie.
Tambahan pula, produk ini diformulasikan oleh Doktor Perubatan, Dr. Syid Ayob yang pastinya arif berkenaan dos bahan aktif dan kesan setiap nutrisi yang disarankan.
Beralih kepada cerita kerjaya, sebelum ini Pak Nil pernah nyatakan untuk memperlahankan karier tetapi nampak tetap aktif terlibat dalam beberapa program hiburan?
Berehat dan memperlahankan kerjaya memang impian saya pada usia sekarang. Beberapa ahli keluarga saya termasuk arwah ayah dan abang juga meninggal dunia dalam lingkungan usia sekarang dan saya memang menghitung hari sebenarnya. Doakanlah impian untuk bersara dimakbulkan Allah SWT. Kalau boleh mahu merasai pengalaman menetap di Mekah, Arab Saudi dan menghembuskan nafas terakhir di sana. Namun, Dia belum tunaikan lagi doa tersebut. Peralihan tersebut sebenarnya sudah nampak sebab saya pun baru sahaja terlibat dengan program Superstar Karaoke terbitan Astro.
Sudah bergelumang sebagai anak seni lebih dua dekad, mungkin Pak Nil boleh kongsi sedikit harapan sebelum menamatkan perjalanan dalam dunia hiburan suatu hari nanti.
Harapan saya, kesenangan yang dimiliki hari ini sudah memadai lebih-lebih lagi dapat membantu golongan memerlukan.
Asalkan saya selesa, tiada penyakit, jadi mangsa fitnah, tidak terpalit dengan kontroversi dan dijauhkan daripada perbuatan memalukan nama baik keluarga serta diri sendiri, itu sudah cukup. Ini mungkin strategi perjalanan saya untuk berehat ketika ini atau selama-lamanya.