PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membantu graduan yang menjadi peminjamnya menerusi Program Graduate Executive Marketer for Simpan SSPN Plus (GEMS).
Menurut PTPTN, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang terlibat secara langsung untuk menjayakan program tersebut.
“Program GEMS akan memberi ruang dan peluang kepada peminjam PTPTN untuk terus maju, berdaya saing dan mempunyai pendapatan yang baik di kala berdepan kesukaran ekonomi ketika ini.
“Semoga usaha PTPTN ini bukan sahaja dapat menjana pendapatan, malah mampu meningkatkan ilmu literasi kewangan serta kesedaran penabungan dalam kalangan graduan peminjam PTPTN,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
GEMS adalah salah satu inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) KPT-CAP (Career Advancement Programme).
Ia adalah usaha kerajaan dalam menangani cabaran kebolehpasaran graduan dan mengurangkan pengangguran akibat wabak Covid-19.
Tambah kenyataan itu, melalui modul latihan yang diberikan, peminjam PTPTN dapat mempraktikkan ilmu keusahawanan sekali gus berupaya menjana pendapatan sendiri.
Kenyataan itu menerangkan, program tersebut ditawarkan kepada peminjam PTPTN yang bergraduat dalam bidang sastera pada tahun 2019 dan 2020.
Pihak PTPTN telah mengenal pasti peminjam yang layak sebagai peserta GEMS berdasarkan syarat yang telah ditetapkan dan bagi mereka yang tidak menerima tawaran menerusi e-mel, semakan boleh dibuat di www.ptptn.gov.my bermula hari ini sehingga 19 Jun 2022.
Tambah PTPTN, peserta program akan diberikan latihan komprehensif secara dalam talian oleh pensyarah UMK selama 16 hari sebelum dibenarkan memasarkan produk Simpan SSPN Plus.
“Peserta juga akan diselia oleh seorang mentor yang terdiri daripada pegawai PTPTN.
“Modul latihan juga akan diberikan dan peserta yang berjaya akan menerima elaun bulanan untuk tempoh 12 bulan.
“Kelebihan lain yang diperoleh peserta yang terpilih dalam program GEMS adalah perlindungan takaful berkelompok percuma.
“Mereka juga berpeluang menerima komisen atas jualan produk yang berjaya, tidak diperlukan modal perniagaan dengan waktu kerja yang fleksibel.
“Selain itu, peserta akan memperoleh sijil untuk digunakan bagi memohon pengecualian jam kredit (micro credential) untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana di UMK,” jelas kenyataan tersebut.