fbpx

Aina perlu lebih peka, sensitif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AINA ABDUL
MOHAMMAD SHAHEMY AZMI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

“Saya suka berfesyen walaupun nampak macam rahib (biarawati). Saya hanya menghargainya sebagai fesyen saja. Bukan saya pakai seperti ini, saya berubah dan memuja sesuatu.”

Demikian komen ‘memakan diri’ oleh penyanyi berbakat besar, Aina Abdul apabila gaya pemakaian hijabnya sewaktu sidang media konsert A Night With Aina Abdul 2.0 baru-baru ini dikatakan menyerupai biarawati.

Menganggap gaya itu cuma sekadar fesyen yang terinspirasi daripada koleksi fesyen Mason Margiela 2022/Spring Summer, Aina mungkin terlupa untuk menjaga sensitiviti peminatnya dalam kalangan umat Islam.

Benar, fesyen itu bersifat subjektif dan boleh diterjemahkan dalam pelbagai cara, namun harus diingat bahawa kita sekarang berpijak di bumi Malaysia yang mempunyai pelbagai latar belakang budaya, kaum dan juga agama.

Mungkin ramai yang bersetuju apa yang digayakan oleh pelantun lagu Sumpah itu hanya sekadar fesyen, lebih-lebih lagi Aina sendiri masih tertib menjaga
auratnya selaku seorang muslimah.

Namun, apabila ‘karya’ yang dipersembahkan itu menyentuh hal-hal sensitif, seharusnya Aina perlu lebih peka dan sensitif untuk menjaga hati peminat-peminatnya.

Pereka fesyen terkenal yang juga Presiden Bumiputera Designer Association Malaysia, Bon Zainal berkata, berfesyen tidak salah, namun harus diterjemahkan dalam bentuk yang betul dan berpada-pada.

“Bercakap tentang fesyen, perkara kita perlu peka ialah Malaysia adalah sebuah negara Islam yang dihuni oleh pelbagai kaum dan agama. Malah si pemakainya (Aina) Islam.

“Apabila tinggal di sebuah negara majmuk, jangan sesekali cuba untuk menyentuh perkara-perkara sensitif terutamanya melibatkan agama,” katanya ketika dihubungi.

Kata Bon lagi, walaupun imej Aina masih menutup aurat, namun gaya yang diterjemahkan itu secara terang-terangan mirip seperti biarawati Kristian sekali gus menimbulkan salah faham netizen.

“Itu yang menjadi masalah­nya. Saya faham Aina memang suka dan terkenal dengan gaya fesyen unik. Tapi dalam hal ini Aina perlu sedar dan peka de­ngan masyarakat di sekeliling­nya. Bukan sahaja Aina, pereka fesyen dan juga perunding imej­nya juga perlu memainkan pera­nan menegurnya.

“Saya sendiri pun suka berfesyen, namun kita perlu sedar di mana kita berada,” ujarnya.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, terdapat hadis melarang kita ‘tasyabbuh’, iaitu menyerupai agama lain sehingga boleh menimbulkan kekeliruan oleh masyarakat.

“Biarawati Kristian juga memakai hijab yang kelihatan seakan-akan sama dengan hijab yang dipakai oleh wanita muslimah. Mereka (biarawati) menutup kepala dan bahagian dada mereka untuk menzahirkan kesopanan di samping menghormati kedudukan mereka sebagai wanita yang berpegang kepada ajaran agama.

“Bagaimanapun, Nabi Muhammad SAW melarang orang Islam daripada menyerupai orang bukan Islam termasuk daripada segi berpakaian seperti yang diriwayatkan Abu Daud bermaksud:

“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk dalam golongan mereka,” kata­nya.

Walau bagaimanapun, Wan Salim memberitahu, bagi seorang muslim atau muslimah yang berpakaian yang secara kebetulan menyerupai pakaian orang bukan Islam dan tanpa ada niat, (namun masih menjaga etika aurat) untuk meniru, maka dia tidak berdosa.

“Namun untuk mengelak kekeliruan orang ramai, maka individu berkenaan dinasihati supaya menukar pakaian yang boleh menimbulkan kontroversi itu kepada bentuk yang lebih selamat daripada tohmahan atau sangkaan buruk masyarakat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI