BANGKOK – Seorang lelaki dilaporkan menembak tiga lelaki lain di daerah Ban Bueng, wilayah Chon Buri Thailand pada Sabtu lalu yang menyebabkan dua daripada mereka maut, manakala seorang lagi cedera, lapor laman berita Thaiger semalam.
Penyerang yang dikenali sebagai Supakorn, 38, sedang minum bir seorang diri di luar sebuah kedai serbaneka apabila sekumpulan lelaki di meja berhampiran mengkritik keperibadiannya.
Ketika kejadian, salah seorang daripada lelaki tersebut dikatakan menampar Supakorn sehingga menyebabkan dia tertekan dan bertindak mengeluarkan pistol lalu melepaskan tembakan.
Supakorn menembak mati mangsa dikenali sebagai Niphon, 56, sebelum mencederakan Udon yang berusia 50 tahun. Dia seterusnya menembak mati Wichan, 55, yang cuba merampas pistol daripadanya.
Supakorn kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal menuju ke rumah bapa mentuanya.
Polis menemuinya di halaman belakang rumah sambil mengacukan pistol ke arah kepalanya sendiri. Mereka terpaksa memujuknya selama lima jam untuk menyerahkan senjata.
Mereka seterusnya menahan Supakorn dan membawanya ke balai polis Ban Bueng untuk disoal siasat.
Dia kemudian didakwa atas cubaan membunuh, membawa senjata api tanpa alasan munasabah dan menembak senjata api di khalayak ramai. – Agensi