fbpx

Skuad Harimau Malaya perlu aura positif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAN-GON berharap semua penyokong, media dan rakyat Malaysia di seluruh negara akan terus bersatu menyokong aksi skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Buki Jalil.

KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menyeru agar semua pihak memberi aura ‘positif’ dan kekal harmoni khususnya dalam kalangan pemain dan penyokong untuk memudahkan pasukan mencapai sasaran yang diletakkan.

Pengendali dari Korea Selatan itu mengakui barisan kejurulatihan sedaya upaya membuat perancangan terbaik bagi memastikan pasukan negara dapat bersaing dengan lebih kompetitif khususnya pada kelayakan Piala Asia 2023 nanti.

Kata Pan-gon, sudah tentu sokongan padu daripada penyokong ditagih sepenuhnya kerana ia dapat melonjakkan motivasi pemain bagi memastikan keputusan positif dalam setiap perlawanan diharungi dapat dicapai.

“Penyokong dan barisan pemain saling memerlukan antara satu sama lain dan kita mesti bersatu. Secara jujur, apa yang paling penting sama ada kami menang atau kalah, kami layak atau tidak layak, pasukan perlu cuba yang terbaik.

“Jika mahu ke peringkat seterusnya, kami kena berikan 100 peratus. Kami perlukan semangat berpasukan, penyokong, media dan rakyat Malaysia di seluruh negara untuk terus bersatu menyokong Harimau Malaya,” katanya.

Mengulas lanjut, impian peri­badinya adalah untuk memastikan penyokong bangga dengan pasukan dengan apa yang disaksikan tidak kira di atas padang atau di luar stadium.

“Kami sedang berusaha untuk berikan kebanggaan buat semua pihak dengan memastikan pemain dapat mempamerkan corak permainan bola sepak yang lebih baik, bermain dengan agresif dan menguasai perlawanan.

“Sudah pasti kami mahu sasarkan kemenangan untuk baki perlawanan yang diharungi nanti khususnya pada kempen kelayakan Piala Asia 2023 agar misi pasukan dapat dicapai,” katanya.

Harimau Malaya mendapat keyakinan selepas meraih kemenangan pada aksi pemanas badan menentang Brunei dengan keputusan 4-0 dan dijadualkan bertemu Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Selepas itu, tumpuan peminat bola sepak tempatan akan diberikan pada kempen Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023 bermula minggu depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI