fbpx

Sentuhan peribadi beg nama sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beg kanvas dengan tag nama sendiri ini menjadikannya tampak menarik dan bersifat peribadi.

MELETAKKAN nama pada tas tangan atau barangan peribadi lain seperti dompet atau aksesori bukanlah satu trend yang baharu dalam dunia fesyen.

Namun, ia tetap relevan dan masih popular sehingga kini memandangkan ia menjadikan sesebuah barangan itu lebih unik dan bersifat lebih peribadi.

Sebuah jenama tempatan mempopularkan trend beg dengan nama sendiri dengan menawarkan pelbagai pilihan tas tangan pelbagai warna yang boleh dipilih pelanggan.

Pengasas bersama yang juga merupakan ketua produk bagi jenama Sometime by Asian Designers, Nicole Wong, 36, berkata trend beg dengan nama sendiri sudah lama muncul di dunia namun jenama itu merupakan syarikat tempatan pertama yang membawa trend tersebut ke dalam negara pada 2017.

“Trend beg dengan nama sendiri lazim dilihat pada jenama dari Barat seperti Christian Dior dan sebagainya.

“Jenama Sometime by Asian Designers merupakan jenama tempatan pertama yang menghasilkan beg yang mana pembeli boleh memilih untuk meletakkan nama sendiri sebagai sentuhan peribadi kepada aksesori itu.

“Ia dihasilkan dengan menggunakan pelbagai kaedah seperti sulaman, tampalan atau ukiran. Beberapa kaedah ini sudah pun diguna pakai dan dipopularkan oleh jenama-jenama besar dunia sejak berdekad lalu,” ujarnya.

NAMA pada beg ini dihasilkan melalui kaedah sulaman.

 

Menyedari bahawa tidak banyak jenama tempatan yang menawarkan trend tersebut, wanita itu kemudiannya memberanikan diri dengan menghasilkan rekaan begnya sendiri yang memberikan ciri sama namun pada harga yang berpatutan.

“Menerusi Sometime by Asian Designers, kami mengubah persepsi itu yang mana kami tidak menekankan tentang harga namun lebih kepada keterujaan memiliki tas tangan dengan nama sendiri yang semestinya menjadikan ia lebih unik dan bersifat peribadi,” jelasnya.

Kekuatan jenama itu terletak pada pilihan beg yang ditawarkan kepada pengguna dan harganya yang berpatutan.

Kepelbagaian warna, rekaan dan juga bahan yang digunakan dalam penghasilan beg tangan dengan nama sendiri itu memberikan orang ramai lebih banyak pilihan untuk menggayakannya.

Material seperti kanvas merupakan material yang paling popular bagi jenama itu kerana sifatnya yang tahan lasak.

“Jika diperhatikan, tidak banyak jenama beg dari Asia yang dihasilkan dan ini adalah kerana beg merupakan antara aksesori fesyen yang paling sukar untuk dihasilkan.

“Beg mempunyai ‘tugas’ atau kriteria yang lebih berat berbanding aksesori fesyen yang lain kerana untuk menghasilkan sebuah beg, seseorang pereka perlulah meneliti sifat beg tersebut seperti saiz, sifatnya yang praktikal dan ketahanannya,” jelas anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu.

Selain kanvas, Sometime by Asian Designers turut menawarkan material jenis nylon dan kulit vegan dalam pelbagai bentuk dan warna yang menarik.

Setiap koleksi beg jenama itu boleh dibeli menerusi laman web www.sometime.asia atau dengan mengunjungi butik Sometime by Asian Designers di pusat beli belah The Gardens, Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI