FESYEN pelik dengan penataan gaya eksentrik dan harus nampak ekstravaganza bukan lagi sesuatu yang asing buat pemilik nama pentas Aina Abdul.
Sebagai penyanyi bahkan lebih lagi seorang penghibur, Aina bukan hanya memiliki kekuatan vokal luar biasa, penampilannya juga menjadi sepotong daripada pengaruh kuatnya untuk dikenali dalam industri muzik tempatan.
Sejak awal tampil dengan gaya imej luar kotak, industri bahkan khalayak umumnya mudah terpukau dengan keberanian Aina menggayakan imej sebegitu.
Biarpun masih dikritik oleh suara-suara netizen mahupun penggiat fesyen, Aina tidak kisah, malah gayanya itu menjadi antara perkara yang dinanti-nantikan peminat setiap kali muncul dalam sebarang bentuk acara hiburan.
Namun sejak akhir-akhir ini, mula timbul suara-suara yang seakan-akan meminta Aina untuk kembali menjadi ‘normal’ ketika bergaya.
Ada pihak berpendapat sudah naik bosan dengan fesyen ‘aneh-aneh’ pemilik nama lengkap Nurul Aina Abdul Ghani itu.
Nama ‘tercalar’
Sehinggalah, nama penyanyi berusia 28 tahun itu sedikit ‘tercalar’ dek ketaksubannya dalam bergaya sehingga terlupa untuk menjaga sensitiviti peminatnya yang rata-rata beragama Islam sehingga menuntutnya untuk mengeluarkan permohonan maaf.
Baru-baru ini, Aina dengan yakin menampilkan imej serba putih dengan gaya hijab yang dikatakan mirip seperti biarawati gereja ketika sidang media konsert A Night With Aina Abdul (ANWAA) 2.0.
Ujar Aina, gaya tersebut adalah idea daripada dirinya sendiri dan pasukan pengurusnya yang berinspirasikan daripada koleksi Mason Margiela 2022/Spring Summer.
Kenyataannya, dia tahu gaya tersebut kelihatan mirip seperti biarawati, namun enggan mengambil peduli tentang hal tersebut kerana pada hematnya, sekadar fesyen.
“Saya suka berfesyen. Walaupun gaya hijab saya disamakan seperti sister (biarawati), saya hanya anggap gaya tersebut hanya fesyen.
“Fesyen hanya untuk ‘statements’ sementara. Bukan kita pakai macam ni, bukannya saya berubah dan memuja sesuatu.
“Ini cara saya untuk beri inspirasi kepada mereka yang mahukan sesuatu yang lain,” katanya.
Mohon maaf
Ibarat kata pepatah, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Kenyataan yang dikeluarkan pelantun lagu Sumpah itu sama sekali tidak boleh diterima netizen, padahnya dia dikritik dan dihentam habis-habisan.
Sebagai langkah selamat, Aina akhirnya tampil memohon maaf menerusi satu kenyataan yang dimuat naik dalam InstaStory miliknya baru-baru ini.
“Saya dengan penuh rasa rendah diri ingin memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan penampilan saya pada sidang media ANWAA 2.0, baru-baru ini.
“Namun, saya mengakui kekhilafan dan telah mendatangkan salah faham ramai pihak, jadi saya ingin memohon maaf,” katanya.
Ujar Aina lagi, kejadian tersebut memberikan amaran agar dia lebih berhati-hati dalam berfesyen pada masa akan datang.
“Saya akan lebih berhati-hati dalam berfesyen selepas ini. Semoga semuanya berada dalam rahmat Allah SWT,” katanya.
Konsert ANWAA
Menyentuh tentang konsert ANWAA 2.0 yang bakal berlangsung pada 25 dan 26 Jun depan di Istana Budaya, Aina bersyukur kerana jualan tiket konsertnya menerima sambutan positif walaupun berdepan dengan isu harga tiket mahal.
Setakat ini, sudah 85 peratus tiket konsertnya terjual dan diharapkan akan ‘sold out’ menjelang hari konsert kelak.
“Alhamdulillah, setakat ini jualan tiket memberangsangkan walaupun tanpa sebarang tajaan.
“Saya sangat berterima kasih kepada peminat yang memahami situasi saya kerana bergerak sendiri dalam merealisasikan konsert ini.
“Sokongan tanpa berbelah bahagi ini akan saya kenang sebagai pemangkin dan pembakar semangat untuk sentiasa memberikan yang terbaik dalam kerjaya seni saya, insya-Allah,” katanya.
Konsert yang berlangsung selama dua hari itu turut menampilkan Mac Chew sebagai pengarah muzik yang dibantu oleh penerbit, Jenny Chin.
Janji Aina, dia tidak akan mengecewakan peminat yang telah mengeluarkan duit membeli tiket dengan menyajikan persembahan ‘ala kadar’.
“Saya tidak mahu menyajikan persembahan asal boleh kepada peminat yang telah berkorban wang ringgit dan tenaga untuk ke konsert saya.
“Saya nak memberikan yang terbaik, setaraf dengan pentas berprestij di Istana Budaya. Jadi persiapan yang dilakukan perlu rapi, lebih-lebih lagi ini adalah persembahan solo pertama saya di Istana Budaya,” katanya.
Pada malam penuh gemilang untuk Aina itu nanti, penyanyi itu bakal menyarungkan lapan busana yang direka khas oleh lapan pereka fesyen.
“Saya sendiri tak sabar nak menyarungkan lapan busana di ANWAA 2.0 nanti. Selain itu, ada lagu di konsert malam pertama tidak akan dinyanyikan di konsert malam kedua yang turut menampilkan seorang tetamu istimewa.
“Peminat yang hadir juga akan mendapat hadiah istimewa sebagai tanda terima kasih. Saya berharap peminat akan pulang dengan senyuman,” katanya.