fbpx

Selepas 10 tahun, akhirnya Spilt Gravy boleh tayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENANTIAN panjang pasukan filem Spilt Gravy selama lebih sedekad akhirnya ternoktah selepas karya berkenaan akan mula ditayangkan kepada penonton bermula 9 Jun ini.

SELEPAS lebih sedekad melalui perbincangan dengan pihak berkuasa, naskhah komedi gelap yang ditunggu-tunggu, Spilt Gravy atau Ke Mana Tumpahnya Kuah… akhirnya mendapat tarikh tayangan menembusi pawagam tempatan.

Filem yang pada asalnya diklasifikasikan sebagai Tidak Sesuai Untuk Tayangan (TUT) oleh Lembaga Penapis Filem (LPF) berkenaan melalui beberapa kali proses olahan semula sebelum diberi kelulusan tayangan pada 20 Mac 2020.

Malangnya, disebabkan pandemik yang tiba-tiba menerpa, naskhah tersebut sekali lagi berdepan penangguhan tayangan selama dua tahun.

Kini selepas melalui pelbagai cabaran, Spilt Gravy yang dibintangi Datuk Rahim Razali, Na’a Murad, Bernice Chauly, Sean Ghazi, Juliana Ibrahim dan Datuk Zahim Albakri sebagai watak utama akan menemui penonton tempatan pada 9 Jun ini.

Naskhah berkenaan merupakan filem sulung arahan Datuk Zahim dengan menyaksikan beliau bertanggungjawab dalam kesemua ketiga-tiga peringkat pembikinan Spilt Gravy yang pernah menemui penonton Malaysia dan Singapura sejak 2002 hingga 2003.

Pementasan karya tersebut mendapat sambutan sangat baik ketika itu sehingga berjaya membawa pulang empat anugerah dalam Boh Cameronian Arts Awards 2003 bagi kategori Skrip Asal Terbaik, Pengarah Terbaik, Rekaan Lampu Terbaik dan Anugerah Pilihan Penonton.

Berlatarkan ibu kota Kuala Lumpur, filem adaptasi drama pentas Spilt Gravy On Rice karya Allahyarham Jit Murad berkisar sebuah keluarga Melayu kelas pertengahan atas yang agak porak peranda.

Naratif dalam satu hari iaitu pada 8 Jun 2011 mengisahkan Bapak (Rahim Razali) yang berasakan hayatnya sudah tidak panjang. Jadi dia menjemput kesemua anaknya makan malam pada keesokan hari bagi membincangkan tentang wasiat.

Sebahagian besarnya adalah tentang harta keluarga melibatkan keluasan beberapa ekar tanah di pusat bandar Kuala Lumpur tetapi lawatan tidak dijangka oleh dua orang asing menyebabkan lelaki itu menukar rancangan dan menyegerakan makan malam pada hari sama.

Sejak tayangan secara perdana di Colombo International Film Festival pada 9 November 2015, Spilt Gravy tidak pernah ditayangkan di mana-mana medium.

Menariknya, naskhah yang asalnya dipentaskan di The Actors Studio, Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur pada 2002 tersebut didedikasikan oleh Datuk Zahim kepada arwah bapanya, Datuk Ikmal Hisham Albakri iaitu seorang arkitek yang terkenal di negara ini.

Beberapa hasil kerja seni bina lelaki itu turut dipaparkan sebagai latar dalam filem tersebut dan lokasi utamanya ialah rumah keluarga Datuk Zahim yang diduduki lebih 40 tahun.

Arwah mengubah suai dan meluaskan kawasan rumah tersebut sekitar 1960-an dan sekali lagi pada pertengahan 1970-an dengan sentuhan uniknya.

Selepas pemergian Ikmal, pihak keluarga dengan berat hati memutuskan menjual rumah tersebut pada 2010 kerana sedar kediaman berkenaan akan musnah ditelan pembangunan.

Menariknya, keluarga arwah turut mencari jalan memelihara legasi sentuhan dan rasa cinta terhadap rumah yang menjadi tempat Ikmal membesar apabila Zahim mencadangkan kediaman berkenaan digunakan sebagai latar Spilt Gravy.

Filem tersebut mendapat pujian daripada tokoh akademik dan muzik iaitu Allahyarham Prof. Dr. Wan Zawawi Wan Ibrahim yang menonton pada Februari lalu dengan menggelarkannya sebagai sebutir mutiara untuk dinikmati rakyat Malaysia kerana memiliki semua ramuan yang mampu menyentuh hati segenap masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI