PASIR PUTEH – Pelakon dan pengacara, Jaafar Onn, 71, bersyukur apabila beliau masih laku dan tetap dipanggil untuk berlakon bagi membintangi filem atau drama meskipun sudah berada dalam kategori pelakon veteran.
Menurutnya, meskipun sudah berusia, beliau tetap menjaga kesihatan diri agar dapat terus melibatkan diri dan aktif dalam persada seni tanah air.
“Semua pelakon veteran di negara ini seharusnya tidak mudah mengalah kerana kita masih ada peluang dan ruang untuk watak yang sesuai dengan penampilan terkini.
“Alhamdulilah, setakat ini saya dianugerahkan rezeki yang berterusan. Ada penerbit yang masih memerlukan saya untuk memegang watak tertentu dalam drama mereka. Bagaikan tidak terlayan banyaknya,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas majlis pelancaran Kopi Papa Jo di Tok Aman Bali di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Urusan Bersama Fatman Sdn. Bhd., Azman Mohamad dan Ahmad Fatihi Mohd. Hanafi.
Dalam majlis itu, Jaafar Onn dilantik sebagai duta produk berkenaan sekali gus dapat melebarkan kerjaya pelakon itu dalam bidang perniagaan.
Mengulas lanjut, Jaafar berkata, selain sibuk dengan dunia seni, beliau tetap gigih mengadakan promosi perniagaan untuk menyasarkan jualan kopi tersebut sebanyak enam juta unit pada tahun ini. – KOSMO! ONLINE