PENDANG – Seorang wanita mampu meraih pendapatan sehingga RM6,000 sepanjang Aidilfitri lalu dengan hanya menjual ketupat daun buluh atau kuih chang yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat ketika ini.
Norhayati Yaakob, 47, berkata, dia berjaya menjual sehingga 240 kilogram (kg) makanan tradisional itu ketika sambutan hari raya.
Katanya, setiap kg dijual pada harga RM25 yang mengandungi antara 30 hingga 40 biji ketupat yang siap direbus.
“Sambutan memang menggalakkan dan saya tak menang tangan menyiapkan tempahan sehingga hari raya.
“Ia menjadi juadah utama di Kampung Chegar berbanding ketupat daun palas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chegar, Jalan Sungai Tiang di sini semalam.
Menurut Norhayati, dia mewarisi kaedah pembuatan juadah itu sejak 24 tahun lalu daripada neneknya.
Tambahnya, proses membuat ketupat itu agak remeh kerana perlu direbus selama empat jam dan memerlukan daun buluh, beras pulut dan air abu.
“Ketupat itu boleh disejuk beku selepas direbus dan mampu tahan sehingga tiga bulan. Ia tidak menggunakan santan dan sedap dimakan dengan rendang atau serunding,” katanya.
Sementara itu, seorang pengedar kuih chang, Muhammad Zahir Hamzah, 28, memberitahu, dia menjual juadah itu menerusi Facebook hingga mendapat tempahan dari seluruh Malaysia.
“Harga yang dijual kekal sejak lima tahun lalu dan kami tidak berhasrat untuk menaikkannya walaupun harga bahan mentah mahal,” katanya.
Mereka yang berminat boleh menghubungi Norhayati di talian 011-3184 6047.