fbpx

Protes di Sri Lanka masuk hari ke-51

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAJAR daripada jurusan perubatan dan sains menyertai demonstrasi antikerjaan di Colombo kelmarin. - AFP

COLOMBO – Polis menembak gas pemedih mata untuk menyuraikan beribu-ribu pelajar yang  cuba menyerbu kediaman Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa kelmarin ketika kerajaan menawarkan perdamaian kepada penunjuk perasaan yang menuntut beliau meletak jawatan.

Polis antirusuhan menggunakan meriam air diikuti gas pemedih mata ketika kumpulan penunjuk perasaan  bertindak merobohkan halangan besi yang diletakkan di tepi jalan menuju ke kediaman rasmi Rajapaksa di Colombo.

Di lokasi berdekatan pula, beribu-ribu lelaki dan wanita menunjuk perasaan pada hari ke-51 kelmarin. Mereka berkumpul  di luar pejabat Rajapaksa dan menuntut beliau meletak jawatan selepas Sri Lanka ditimpa krisis ekonomi paling buruk sejak kemerdekaan negara itu.

Terdahulu, Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe dalam ucapannya di televisyen, menawarkan lebih banyak suara kepada golongan belia yang menyertai protes tersebut untuk turut serta dalam menentukan hala tuju pentadbiran negara.

“Golongan belia mendesak sistem sedia ada diubah,” kata Wickremesinghe ketika membentangkan rancangan penubuhan 15 jawatankuasa yang akan bekerjasama dengan Parlimen bagi menentukan dasar negara.

Tindakan pelajar kelmarin, berlaku sehari selepas pertempuran serupa apabila kumpulan penunjuk perasaan cuba menyerbu kediaman rasmi Rajapaksa yang dikawal ketat.

Sri Lanka kini tiada wang untuk mengimport bekalan asas termasuk makanan, bahan api dan ubat yang menyebabkan 22 juta rakyatnya hidup dalam kesusahan.

Sri Lanka juga gagal membuat bayaran hutang luar negara berjumlah AS$51 bilion (RM222.8 bilion).

Matawang negara itu merosot 44.2 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat pada tahun ini, manakala inflasi me­lonjak 33.8 peratus bulan lalu sekali  gus angka tertinggi. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI