fbpx

Polis sedia bantu JIM kesan 60 etnik Rohingya lolos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara etnik Rohingya tahanan depot imigresen yang berjaya ditahan semula selepas meloloskan diri.

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur memberi jaminan akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen (JIM) untuk mengesan baki 60 pelarian etnik Rohingya yang masih lolos dari Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap dalam insiden rusuhan pada April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, difahamkan Bukit Aman dan JIM telah mengadakan mesyuarat berkaitan kes itu.

“Justeru itu, kita masih menunggu arahan daripada Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya

“Kita akan mengambil tindakan bersesuaian untuk mengesan baki 60 pelarian etnik Rohingya itu dengan mengadakan sekatan jalan raya jika ada maklumat yang diperoleh,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini hari ini.

Menurut beliau, polis ada melakukan risikan dan pemantauan kerana tidak menolak kemungkinan terdapat individu yang lolos berkenaan datang ke Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

“Kita masih melakukan pemantauan berhubung perkara itu dan kita bersedia untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mengesan baki pelarian itu,” katanya.

Pada 20 April lalu, seramai 528 pelarian etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Tahanan Sementara Imigresen Relau di Sungai Bakap, Kedah selepas memecahkan pintu blok dan jeriji penghadang dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi.

Bagaimanapun, enam daripada mereka dilaporkan maut dalam kemalangan ketika cuba melintas laluan di Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Jawi, Pulau Pinang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, terdapat 60 pelarian etnik yang lolos belum dapat ditahan setakat ini dan operasi mengesan saki-baki etnik itu giat dijalankan pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI