JAKARTA – Sebuah kilp video tular di media sosial Indonesia kerana memaparkan seorang pengantin lelaki yang memilih untuk memakai seluar pendek pada majlis perkahwinannya, lapor laman berita Suara.com.
Video tersebut dimuat naik dalam akaun Instagram @vidiopernikahan.
Rakaman menunjukkan seorang pengantin lelaki lengkap berbaju putih dan berseluar pendek hijau keluar dari pintu sebuah rumah.
Pengantin lelaki itu dilihat membawa sejambak bunga sambil berjalan menuju ke pelamin di tengah-tengah tetamu undangan yang sedang duduk di kerusi.
Dia sesekali menyapa sambil bersalam dengan beberapa tetamu yang hadir.
Setelah tiba di hadapan pelamin, dia menyambut pengantin perempuan sebelum naik ke pelaminan.
Video tersebut mendapat kecaman netizen di ruangan komen.
“Tidak sesuai untuk majlis pernikahan. Ini bukannya parti hari jadi. Patut lebih hargai isteri, orang tua dan keluarga lain,” tulis seorang netizen.
“Tidak sopan, tidak menghargai tetamu yang datang bersiap dengan rapi,” komen netizen lain. – Agensi