PASUKAN hoki kebangsaan mengesahkan tiket ke pentas final Piala ‘Super 4’ Piala Asia 2022 selepas berjaya menumbangkan pasukan Jepun 5-0 di Stadium Hoki Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia sebentar tadi.
Kemenangan tersebut berjaya memadam episod duka pasukan negara selepas tumbang di tangan Jepun pada aksi final Sukan Asia 2018 di Jakarta.
Skuad kendalian Arul Selvaraj membuktikan mereka dalam kelas tersendiri apabila bijak mengatur rentak dan tidak membuka ruang kepada Jepun untuk mengawal perlawanan sepenuhnya sebelum membuka aksi tersebut dengan dua gol pembukaan.
Gol jaringan Malaysian Tigers berjaya diperoleh menerusi percubaan tepat Shello Silverius seawal minit ke-15 sebelum Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi menambah gol kedua negara pada minit ke-30 menerusi gol padang.
Tersentak dengan keadaan tersebut, Jepun mula mengatur rentak serangan, namun cubaan berjaya dipatahkan skuad negara. Skuad negara terus menambah derita Jepun apabila Muhammad Razie Abd. Rahim berjaya menyumbat masuk gol menerusi pukulan sudut penalti.
Dua lagi penyumbang gol Malaysia adalah menerusi Muhammad Syafiq Hassan pada minit ke-35 dan Mohamad Ashran Hamsani pada minit ke-42.
Sebelum ini, Malaysia diikat India dan Korea Selatan dengan keputusan masing-masing 3-3 dan 2-2 dan kini hanya menunggu keputusan perlawanan antara dua pasukan berkenaan untuk ke pentas final.
Selepas ini, Korea Selatan dan India dijadual bertemu pukul 7.30 malam ini untuk menentukan lawan Malaysia di pentas final esok. – KOSMO! ONLINE