fbpx

Malaysian Tigers tekad benam Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARUL percaya anak-anak buahnya tekad memburu kemenangan pada aksi terakhir pusingan ‘Super 4’ Piala Asia 2022 bertemu Jepun di Stadium Hoki Gelora Bung Karno hari ini.

KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj bersiap sedia untuk mengatur strategi terutama bagi memperkuatkan ketahanan mental pemain bagi menghadapi pertarungan ‘hidup mati’ dalam aksi terakhir pusingan ‘Super 4’ Piala Asia 2022 bertemu Jepun hari ini.

Arul berkata, pasukan kendaliannya akan bekerja keras dan tekad untuk membawa pulang kemenangan ketika berdepan Jepun meskipun sedar terdapat beberapa kelemahan perlu diperbaiki ketika turun beraksi di Stadium Hoki Gelora Bung Karno nanti.

“Antara kelemahan yang kita lihat terutama pada suku ketiga di mana prestasi pemain terlalu menurun? Di situlah yang perlu saya kaji. Tiada masalah mengenai permainan mereka di atas padang tetapi terdapat masalah daripada sudut berkenaan.

“Mungkin itu yang perlu kami kaji, namun saya mengharapkan kepada semua untuk terus percaya, menyokong kami dan kami akan berjuang sehingga penamat.

“Apa pun, perlawanan belum berakhir dan kami akan memenangi perlawanan ketika berdepan Jepun. Pemain akan bermain habis-habisan untuk menang dan kami perlu harapkan keputusan antara India dan Korea Selatan,” kata Arul mengulas mengenai strateginya bagi menghadapi Jepun.

Semalam, skuad hoki negara terikat 3-3 dengan India dalam aksi kedua saingan ‘Super 4’ yang memperlihatkan Muhammad Razie Abd. Rahim meledak hatrik masing-masing pada minit ke-12, 21 dan 56.

Sebelum itu, anak buah Arul terikat 2-2 dengan Korea Selatan menerusi jaringan Razie dan juga Mohamad Ashran Hamsani pada aksi pertama.

Malaysia kini berada di tangga ketiga daripada empat pasukan dengan mengumpul dua mata dan kemenangan ke atas Jepun serta keputusan aksi Korea Selatan dan India bakal mencerahkan peluang untuk skuad negara beraksi di pentas final Piala Asia 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI