KLANG – Seorang lelaki maut apabila lori dipandunya dilanggar sebuah lori lain sehingga terbalik berdekatan stesen minyak di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) menghala Pelabuhan Klang di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu mengakibatkan mangsa dikenali Zulkilnaziadin Hassan, 44, meninggal dunia akibat parah di kepala.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerusi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 11.14 pagi.
Katanya, pemeriksaan mendapati kemalangan itu melibatkan dua lori tiga tan masing-masing menghala ke arah Pelabuhan Klang.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila satu daripada lori itu dipandu lelaki berusia 24 tahun melanggar belakang lori mangsa.
“Perlanggaran itu mengakibatkan lori mangsa hilang kawalan lalu terbalik di lokasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.-KOSMO!ONLINE