MELAKA – Padah memandu di bawah pengaruh alkohol, seorang pembantu kedai dipenjara sehari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku salah atas perbuatan itu, tahun lalu.
Majistret Azureen Sahira Saufee Afandi menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Chan Chee Wee, 40, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu kereta nombor pendaftaran BKL5386, telah didapati kadar kandungan alkohol dalam nafasnya sebanyak 215 miligram (mg) per 100 mililiter (ml) nafas, iaitu lebih 193 mg daripada tahap dibenarkan, 22 mg per 100 ml nafas.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.50 tengah malam di Jalan Taming Sari, dalam daerah Melaka Tengah, pada 18 April 2021.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda minimum RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh dikesan melakukan kesalahan itu dalam Ops Mabuk yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah. – KOSMO! ONLINE.