fbpx

Laung azan selepas cemas bumbung diterbangkan ribut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ribut hingga ke jalan utama di Jalan Sungai Korok, Jitra kelmarin.

JITRA – Ribut yang melanda daerah ini kelmarin menyebabkan rumah penduduk termasuk di Kampung Telaga Batu, Mukim Naga di sini mengalami kerosakan.

Penduduk, Md. Radzi Mt Isa, 59, berkata, semasa kejadian pada pukul 4 petang itu, dia bersama ahli keluarganya sedang berehat di dalam rumah kerana hujan renyai.

Lelaki itu kemudian terde­ngar bunyi angin disusuli dengan ribut sehingga menyebabkan beberapa pokok di tepi rumahnya bergoyang.

“Rumah saya juga bergegar sebelum kami sekeluarga terde­ngar bunyi dentuman dari bahagian atas rumah.

“Semasa kejadian, anak dan menantu saya yang berada di tingkat atas segera menyelamatkan diri dan menjerit meminta tolong,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Menurut Md. Radzi, anaknya memaklumkan bumbung rumah mereka diterbangkan ribut sejauh 50 meter ke jalan utama.

“Nasib baik tiada kenderaan melalui jalan tersebut semasa kejadian,” katanya.

Tambahnya, bimbang de­ngan keadaan itu, Md. Radzi melaungkan azan beberapa kali sehingga ribut reda.

“Saya minta semua ahli keluarganya keluar dari rumah kerana­ bimbang pokok akan tumbang dan menghempap rumah kami kerana ketika itu, tiang ­elektrik dan telefon telah tumbang dan patah akibat dibadai ribut,” katanya.

Mohd. Nazri menutup rumahnya dengan plastik selepas bumbung rumahnya diterbangkan ribut kelmarin.

Selepas ribut mulai reda, beberapa penduduk membantu Md. Radzi meleraikan bumbung yang mengambil masa dua jam bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.

“Sepanjang hampir 30 tahun tinggal di sini, kejadian semalam (kelmarin) paling tidak dapat dilupakan,” ujarnya.

Bagi Mohd. Nazri Zainol, 35, pula, semasa kejadian, dia dan keluarganya tiada di rumah kerana­ berada di tempat kerja.

“Beberapa rakan menghu­bungi saya memaklumkan bumbung rumah diterbangkan ribut.

“Sebaik pulang dari tempat kerja, saya mendapati sebaha­gian bumbung telah tiada.

“Saya menghidu bau hangit seperti berlaku kebakaran yang mungkin disebabkan masalah berkaitan elektrik,” katanya.

Lelaki itu bernasib baik kerana­ anak-anaknya tiada di rumah.

Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmiaan Kemiskinan dan Kebajikan Kedah, Halimaton Saad turut melawat kawasan yang terjejas dalam kejadian ribut tersebut.

“Sebanyak 47 buah rumah rosak akibat ribut petang semalam (kelmarin) yang membabitkan empat daerah di negeri ini,” katanya.

Beliau meminta semua mangsa yang terlibat supaya membuat laporan polis bagi memudahkan agensi kerajaan menghulurkan bantuan dalam usaha bagi meringankan beban mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI