NEW DELHI – Seorang isteri di India ditahan kerana mengupah lima lelaki untuk memperkosa seorang wanita yang disyaki mempunyai hubungan sulit dengan suaminya, lapor akhbar Daily Star semalam.
Tertuduh yang dinamakan polis sebagai Gayatri itu mengesyaki suaminya, Srikanth telah menjalinkan hubungan intim dengan mangsa.
Mangsa dilaporkan tinggal di rumah pasangan itu di Sriramnagar, Kondapur, dalam negeri Hyderabad kerana dia tidak sihat. Selepas beberapa bulan, tertuduh yakin bahawa suaminya dan tetamu mereka adalah pasangan kekasih.
Dalam cubaan untuk membalas dendam, Gayatri telah memaksa lima pekerjanya untuk terlibat dalam serangan seksual yang kejam terhadap wanita itu.
Sumber polis berkata, Gayatri menarik mangsa ke dalam bilik di mana lima perogol itu menunggu.
Polis berkata, wanita itu merakam seluruh kejadian dan mengugut mangsa untuk menyebarkan klip video tersebut di internet jika dia cuba membuat aduan kepada pihak berkuasa.
Mangsa dilaporkan cedera parah dalam serangan itu dan dibawa oleh keluarganya ke sebuah hospital swasta. Keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis di Gachibowli.
Polis menahan Gayatri di samping lima suspek perogol yang terlibat iaitu Ulsala Manoj Kumar (22), Syed Masthan (25), Sheikh Mujahid (25), Sheikh Moula Ali (32) dan Pridhvi Vishnu Vardhan (22).
Seorang pegawai kanan polis berkata, pihaknya membuat keputusan untuk mendedahkan butiran kes itu kepada umum kerana terlalu banyak soalan yang ditanya mengenai kejadian tersebut. – Agensi