BEIJING – China mengarahkan semakan buku teks sekolah di seluruh negara selepas timbul kekecohan dalam kalangan orang ramai mengenai ilustrasi yang dianggap hodoh, tidak senonoh dan pro-Amerika Syarikat, lapor stesen penyiaran CNN.
Lukisan yang ditemui dalam buku teks matematik kegunaan pelajar sekolah rendah selama hampir satu dekad itu mencetuskan kontroversi atas pelbagai sebab.
Sebilangan pengguna internet telah mengkritik gambar kanak-kanak bermata kecil dan berdahi luas dalam buku itu sebagai menyinggung perasaan dan bersifat perkauman.
Satu gambar lain memaparkan seorang kanak-kanak dengan benjolan membentuk kemaluan pada seluarnya. Orang ramai turut marah berhubung konotasi seksual dalam lukisan berkenaan.
Ilustrasi berlainan pula memaparkan seorang budak lelaki meletakkan tangannya di dada seorang kanak-kanak perempuan.
Dalam gambar berikutnya, seluar dalam seorang kanak-kanak perempuan terserlah ketika dia bermain lompat tali.
Kemarahan terhadap ilustrasi itu mendominasi perbincangan di media sosial China sejak Khamis lalu apabila gambar-gambar itu mula tersebar secara online.
Beberapa tanda pagar berkaitan isu tersebut mendapat puluhan juta tontonan di laman sosial tempatan, Weibo.
Susulan kekecohan yang berlaku, Akhbar Pendidikan Rakyat bertindak menarik balik buku teks berkenaan dan akan mereka bentuk semula ilustrasi tersebut.
Pada Sabtu lalu, Kementerian Pendidikan China bertindak mengarahkan penerbit membetulkan dan memperbaharui penerbitannya selain memastikan versi baharu siap sebelum semester berikutnya.
Kementerian sama juga mengarahkan pemeriksaan menyeluruh di seluruh negara untuk memastikan semua bahan pengajaran mematuhi arah dan nilai politik yang betul, mempromosi budaya Cina dan menepati cita rasa orang ramai. – Agensi