PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan, sehingga kini terdapat tiga kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dimasukkan ke wad unit rawatan rapi (ICU).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama dan kedua dimasukkan ke ICU kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis) dan disahkan dijangkiti EV71.
“Bagi kes pertama dan kedua ini masih di bawah pemantauan rapi di ICU. Manakala kes ketiga dimasukkan ke ICU kerana pemantauan selepas pembedahan perut.
“Kes ketiga ini telah pun dipindahkan ke wad pembedahan biasa pada 27 Mei untuk pemantauan lanjut. Survelan enterovirus mendapati tiga virus utama menyebabkan penularan penyakit HFMD dalam komuniti pada tahun ini iaitu Coxsackie A16 (CA16), Coksackie A6 (CA6) dan Enterovirus 71 (EV71),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi tahun ini sehingga hari terakhir minggu epidemiologi (ME) 21/2022 (28 Mei), sejumlah 65,535 kes HFMD telah dilaporkan iaitu peningkatan 27 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu (semasa pandemik Covid-19) iaitu 2,333 kes. -KOSMO! ONLINE