Bebas daripada belenggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nampaknya benar-benar membuatkan rakyat Malaysia semacam mengalami lonjakan keterujaan ‘tak terkawal’.
Buktinya, Syawal tahun ini yang berakhir hari ini akan dikenang sebagai raya balas dendam. Semua mahu beraya sakan dan ramai yang sanggup berhabis.
Artis-artis pula mula ligat merencana konsert dan para peminat tidak sabar-sabar melepas gian ke konsert. Natijahnya, tiket konsert artis-artis habis dalam masa singkat waima yang berharga kayangan.
Terbaharu, kecoh di media sosial apabila peminat-peminat badminton pula ‘lepas geram’ untuk menyaksikan kejohanan Terbuka Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 28 Jun hingga 3 Julai ini di Axiata Arena Bukit Jalil.
Sebaik sahaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan tiket Terbuka Malaysia dibuka pada pukul 2 petang Khamis lalu, peminat-peminat sudah berikrar untuk berperang di ruang maya bagi merebut tiket idaman di laman web ditetapkan.
Habis laman web itu diserbu pengunjung yang begitu ramai dan para peminat badminton pula tabah beratur secara online menunggu giliran walaupun berpuluh ribu di hadapan. Seorang netizen berkongsi berada pada kedudukan giliran ke 42,890 dan ada mendapat giliran ke 51,562.
Ada yang berjaya beli tiket, ada juga yang kecewa kerana masih tidak dapat menembusi giliran walaupun gigih beratur berjam-jam sampai ke malam sehinggalah pada pukul 11 malam apabila perkhidmatan laman itu terhenti kerana didakwa mengalami serangan web mega dan hanya disambung Sabtu.
Apa lagi berlakulah gegak gempita sehingga #MalaysiaOpen2022 trending no.1 di Twitter sampai keesokan paginya. Yang belum beli menyuarakan kecewa menanti berjam-jam, manakala yang sudah membeli khuatir status pembelian tiket mereka.
“Dah tunggu selama 9 jam sepenuhnya untuk mendapatkan tiket badminton dengan dua kali tertendang keluar dari laman web dan kembali beratur, namun berakhir dengan penganjur mengatakan ia ditutup hari ini dan disambung Sabtu. Betul-betul buang masa saya,” kongsi seorang pengguna Twitter.
“Macam mana ruang tingkat atas pun boleh habis, sedangkan saya pergi pada edisi 2019 semuanya kosong dan saya tidak perlu berasa risau tentang tiket. Sekarang, saya tengok semua orang beratur, saya pun stres,” kata netizen yang lain pula.
Pun begitu, keadaan kembali pulih dan rata-rata peminat sanggup berjuang sekali lagi pada Sabtu sehingga akhirnya berjaya mendapatkan tiket. Begitulah sayangnya rakyat Malaysia kepada sukan badminton pada hari ini.
Media kelmarin melaporkan tiket kejohanan enam hari itu laris macam goreng pisang panas. Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh memberitahu, tiket bagi hari suku akhir hingga akhir sudah hampir habis dijual.
Bagi penulis, ini bukan perihal lepas geram semata-mata, tetapi ia indikasi bahawa minat rakyat Malaysia kepada sukan badminton kembali memuncak kala ini.
Ia mungkin dipacu dengan kejayaan terkini atlet-atlet badminton dari pelbagai sektor seperti Lee Zii Jia yang menjuarai Terbuka Thailand memasuki kelompok lima terbaik dunia, kejayaan beregu lelaki Goh Sze-Fei Nur Izzuddin menjuarai Terbuka Jerman dan Pearly Tan-M. Thinaah menembusi kelompok 10 terbaik dunia menumbangkan bekas beregu wanita no.1 dunia, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota.
Diharapkan, BAM dapat menjadikan sokongan ditunjukkan peminat ini sebagai tonik untuk semakin memperhebat prestasi atlet sekali gus mengembalikan kepercayaan peminat yang sedang ‘menggila’ ini.