KUALA LUMPUR – Orang awam gempar apabila menemui sebutir bom lama dipercayai zaman Perang Dunia Kedua semasa menjalankan kerja-kerja pembinaan di dalam longkang di tepi Jalan Taman Pusat Kepong, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihak polis menerima panggilan MERS 999 daripada orang awam lebih kurang pukul 12.30 tengah hari berkenaan penemuan objek dipercayai sebutir bom lama di lokasi.
“Bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Unit Pemusnah Bom (UPB), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bergegas ke lokasi untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bom tersebut tidak lagi aktif serta berbahaya dan pegawai UPB mengesahkan bahawa objek tersebut adalah sebutir Bom Mortar Practice 40 MM berwarna putih yang kebiasaannya digunakan dalam latihan ketenteraan semasa zaman perang dunia kedua,” ujarnya.
Menurutnya, bom tersebut kemudiannya dibawa ke Cawangan Persenjataan IPK Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
Tegas beliau, sekiranya menjumpai sebarang objek yang mencurigakan, orang ramai diingatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini. – KOSMO! ONLINE