LONDON – Nottingham Forest kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) buat pertama kali dalam tempoh 23 tahun selepas menewaskan Huddersfield pada aksi final playoff di Stadium Wembley malam kelmarin.
Gol sendiri yang dijaringkan pemain pertahanan Huddersfield, Levi Colwill pada minit ke-43 sudah cukup untuk memastikan mereka mencatat kemenangan 1-0 seterusnya kembali ke saingan tertinggi bola sepak England.
Pengurus Forest, Steve Cooper mengakui gembira dengan kejayaan itu dan menegaskan, pasukannya memang layak untuk berada dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada musim hadapan.
“Kami adalah sebuah pasukan bola sepak yang besar serta memiliki sejarah cukup hebat. Semua pemain sangat bangga apabila dapat mencipta episod baharu dalam sejarah kelab ini.
“Bagi saya, tempat sebenar pasukan ini adalah saingan Liga Perdana dan saya sentiasa katakan kepada semua pemain. Sekarang mereka sudah berjaya merealisasikan impian tersebut,” katanya.
Sebagai rekod, Forest memulakan saingan Liga Kejuaraan musim ini dengan agak goyah apabila hanya mengutip satu mata dalam tujuh perlawanan di bawah kendalian bekas pengurus, Chris Hughton sebelum Cooper dibawa masuk.
“Ketika kami berada di dasar liga, memang ia satu perkara yang cukup sukar, tetapi semua pemain tidak pernah berputus asa. Oleh sebab itu, saya tegaskan kami memang layak untuk ke Liga Perdana,” ujar Cooper.
– AGENSI