fbpx

Empat lagi ditangkap komplot rasuah urus jenazah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Empat lagi individu termasuk dua penolong pegawai perubatan dicekup hari ini, selepas disyaki terlibat dalam rasuah pengurusan jenazah.

Kesemua suspek lelaki berusia 35 hingga 41 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6 petang tadi ketika hadir memberikan keterangan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Sumber berkata, penangkapan suspek hasil siasatan lanjut terhadap dua pembantu perubatan yang telah direman sebelum ini.

Katanya, empat suspek terbaharu ini juga adalah dari hospital sama dengan suspek terdahulu.

“Dua suspek adalah pembantu perubatan manakala dua lagi penolong pegawai perubatan.

“Mereka disyaki telah meminta dan menerima suapan berjumlah antara RM1,000 hingga RM4,000 setiap seorang bagi urusan berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Sumber menambah, kesemua suspek juga dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan sebanyak RM300 bagi setiap pengurusan jenazah daripada individu tertentu.

Jelasnya, ini sebagai balasan untuk pihak berkenaan terus mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah bagi tempoh 2018 hingga tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“Tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, esok untuk proses reman.

“Manakala seorang lagi suspek yang merupakan penolong pegawai perubatan berusia 41 tahun akan dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya.

Kosmo! pada 27 Mei lalu melaporkan dua pembantu kesihatan masing-masing berusia 40 dan 42 yang bertugas di sebuah hospital di Selangor direman lima hari selepas disyaki terlibat dalam komplot rasuah pengurusan jenazah. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI