TAMPIN – Seorang kanak-kanak berdepan dengan masa depan kesihatan yang tidak menentu apabila terpaksa mengambil steroid seawal usia dua tahun bagi menahan penderitaan ke atas penyakit buah pinggang bocor yang dialaminya.
Haira Nur Mellisa, 4, dikesan menghidap penyakit berkenaan dua tahun lalu selepas ibu bapanya menyedari kesan bengkak pada bawah mata anak mereka tidak surut selamat seminggu.
Ibunya, Sitty Noor Aishah Mohd. Rezuan, 24, berkata, dia dan suami, Muhamad Safuan Kamis, 26, tidak mampu menahan sebak dan menangis apabila terpaksa memberi anak kedua daripada empat beradik itu steroid.
Mengimbau semula kejadian itu, Sitty Noor Aishah berkata, dia terus membawa Haira Nur Mellisa ke klinik kesihatan sebelum bergegas ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah apabila dimaklumkan anaknya mengalami sindrom protein.
“Zat berkenaan tidak dapat diserap dengan baik kerana kebocoran buah pinggang dan ia membuatkan saya terlalu sedih.
“Kali kedua dia diserang sakit pada Februari lalu dan saya muat naik di laman sosial, rupanya ramai yang berkongsi masalah serupa,” katanya ketika ditemui di Kampung Repah di sini baru-baru ini.
Menurut Sitty Noor Aishah, kesan penyakit itu akan mengakibatkan anggota badan membengkak dan perut membuncit.
Tambahnya, doktor menyarankan supaya membawa terus anaknya berjumpa pakar sekiranya sakit tersebut menyerang buat kali ketiga.
“Setakat ini, anak hanya bergantung kepada ubat hospital,” katanya.
Sementara itu, Muhamad Safuan berkata, dia bersyukur apabila rakan dan ahli keluarga banyak memberi sokongan termasuk kewangan kepadanya sekeluarga.
“Saya lega kerana sudah boleh bekerja semula sebagai kontraktor dengan sebuah syarikat telekomunikasi dan mendapat gaji RM1,400 sebulan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Isteri pula membuat popia sejuk beku tetapi pada masa sama perlu menguruskan tiga lagi anak masing-masing berusia dua hingga enam tahun, selain menjaga anak buah lelaki berusia 10 bulan,” katanya.
Menurut Muhamad Safuan, ketika PKP, dia ada menerima bantuan daripada masyarakat setempat yang membekalkan makanan dan susu formula.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 05058023956885 atas nama Sitty Noor Aishah.