KUALA LUMPUR – Akta baharu bagi kawalan tembakau dan merokok akan dibentangkan di Parlimen pada Julai nanti.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, pihaknya berharap draf tersebut mendapat sokongan daripada ahli-ahli Parlimen yang lain.
“Sebenarnya, kita sudah lama menunggu dan peratusan individu yang berhenti daripada amalan merokok juga adalah sangat rendah.
“Jadi, kita harap cadangan memperkenalkan Generasi Penamat (GEG) ini dapat membantu mengurangkan bilangan perokok pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2022 di SJKC Choong Wen, Jalan Klang Lama di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr. Mah Hang Soon, Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Prof. Datuk Dr Lekhraj Rampal dan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr. Koh Kar Chai.
Mengulas lanjut, Azmi memberitahu, draf terbabit sudah berada di peringkat Jabatan Peguam Negara (AGC) dan sedang menunggu kelulusan.
Azmi berkata, isu rokok ini bukan sahaja boleh menyebabkan pelbagai penyakit tidak berjangkit malah memberi kesan kepada prestasi dan produktiviti serta pembaziran jika tidak diambil tindakan segera.
“Justeru, usaha kawalan tembakau ini disasarkan untuk menurunkan prevalen merokok menjadi lebih rendah serta mempunyai generasi hadapan yang lebih sihat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE