fbpx

Aeril Zafrel dikecam jadikan kematian Tangmo Nida sebagai jenaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar video TikTok Aeril yang berpura-pura menolak Wawa ke dalam sungai dikecam kerana didakwa mempersenda cara kematian aktres Thailand, Tangmo Nida yang menjadi perhatian dunia beberapa bulan lalu.

PETALING JAYA – Apa sahaja yang dilakukan pelakon Aeril Zafrel dalam TikTok sering menjadi perhatian kerana dia kerap mengikuti perkembangan semasa yang berlaku dalam platform berkenaan sehingga diberi jolokan ‘CEO TikTok’ oleh netizen.

Pun begitu, kali ini nasib tidak menyebelahi Aeril apabila dia dikecam gara-gara menjadikan kisah tragis kematian aktres Thailand, Tangmo Nida sebagai bahan gurauan.

Dalam sebuah video yang dimuat naik pelakon itu dalam TikTok miliknya, dia bersama isteri, Wawa Zainal yang ketika ini sedang bercuti di Thailand berada di atas sampan menyusuri sebuah sungai.

Aeril kemudian berpura-pura menolak Wawa ke dalam sungai, merujuk kejadian malang yang menimpa Tangmo apabila kematiannya berpunca kerana jatuh dari bot.

Perkongsian Aeril, 34, nyata tidak disenangi netizen yang melabelkan ‘jenaka’ dilakukannya langsung tidak kelakar kerana menggunakan kematian seseorang sebagai ‘content’.

“Biadab Wawa Zainal dan Aeril Zafrel buat video TikTok atas bot atau sampan dengan latar belakang lagu Thailand (yang seringkali digunakan untuk kisah mendiang Tangmo).

“Siap buat adegan kononnya Wawa kena tolak dari bot atau sampan tu! Ingat lawak ke bodoh?” selar seorang netizen dalam Twitter.

“Bila dah terlalu seronok buat TikTok, lama-lama jadi ‘try hard’ tanpa sedar bang, saya cakap je,” tegur pula seorang netizen lain.

Pada masa sama, perkongsian seorang pengguna Twitter yang menyelar tindakan pelakon itu dipadam selepas Aeril sendiri tampil membuat permohonan maaf dan memberitahu dia akan memadam video berkenaan dalam TikToknya.

Malah pengguna itu turut berkongsi tangkap layar kiriman mesej daripada Aeril yang memaklumkan dia sudah pun memadam video tersebut.

“Salam dik, saya dah padam video ya,” beritahu Aeril.

“Waalaikumussalam bang, mantap,” jawabnya.

Sebelum ini, pelakon filem KL Vampires itu pernah dikecam apabila mempersoalkan kesahihan foto dikongsi penceramah bebas, Datuk Kazim Elias yang diuji sakit misteri.

Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari bagaimanapun kemudiannya memohon maaf atas keterlanjuran kata dan mengakui khilaf diri yang kurang sensitif tentang tahap kesihatan lelaki berpengaruh itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI