KLUANG – Sebuah kediaman teres setingkat musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Taman Aman di sini tengah malam tadi.
Menurut mangsa, Hashim Arshad, 71, ketika kejadian pada pukul 11.30 malam itu, dia, isteri, anak perempuan, menantu dan cucu perempuan berusia tiga tahun sedang nyenyak tidur.
Katanya, kebakaran dipercayai berpunca dari bahagian dapur sebelum api merebak dengan cepat dan memusnahkan kediamannya dalam tempoh setengah jam.
“Mujur bomba datang dengan cepat dan kebakaran menyebabkan ruang tambahan rumah yang menempatkan dapur musnah terbakar 100 peratus.
“Sebenarnya sudah dua hari dapur tidak berasap dan tiada sesiapa menggunakan gas memasak.
“Kebakaran juga menyebabkan peralatan elektrik rosak termasuk peti ais dan televisyen selain dua motosikal dan kereta selain sebuah van,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, nilai kerugian dianggarkan mencecah RM50,000 namun bersyukur kerana mereka tidak mengalami kecederaan dan dipanjangkan usia.
Dalam pada itu, sebuah jentera FRT, LFRT dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang dengan kekuatan keseluruhan seramai 13 anggota telah dihantar ke tempat kejadian.
Menurut Komander Operasi Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fauzi Md Nor, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kebakaran rumah melalui talian Mers999 pada 11.38 malam.
“Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada 1.20 pgi berikutnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE