fbpx

U.K’s janji konsert terbaik, mahu tarik peminat baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELEPAS hampir tiga dekad dalam industri, Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun di Istana Budaya menjadi simbolik pencapaian terbesar sepanjang karier U.K’s.

BERBAKI kurang sebulan sebelum menempuh malam yang akan dikenang sebagai momen terindah dalam karier mereka, kumpulan legenda U.K’s kini sedang giat melakukan persiapan sempena penganjuran Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun.

Akan berlangsung selama dua malam berturut-turut pada 17 dan 18 Jun depan bertempat di Istana Budaya, U.K’s mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal demi menjanjikan sebuah persembahan terbaik buat peminat.

Ditemui pada sesi latihan di One Scream Studio, Taman Melawati di ibu negara baru-baru ini, vokalisnya, Amir mewakili semua anggota yang lain berkata, persiapan mereka lebih terarah untuk membaiki mutu persembahan.

Ujar pemilik nama lengkap Mohd. Azmir Muhammad Yusof, 53, itu, mereka berharap, penganjuran konsert yang julung kali diadakan sejak penubuhan U.K’s tersebut mampu menarik minat generasi baharu.

“Bagi peminat baharu termasuk yang lama, inilah masanya dapat tengok konsert pertama kami. Istimewanya, selama ini mereka hanya dengar menerusi corong radio dan pasang cakera padat. Sekarang dah boleh tengok di depan mata,” katanya.

KATA Amir, peningkatan usia memberi cabaran kerana kebanyakan lagu U.K’s bernada tinggi tetapi menerusi Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun, dia terpaksa mengubah range muzik mengikut kemampuan kerana enggan mencacatkan lagu.

Meskipun dengan status sebagai ‘otai’, mereka yakin masih mampu menjayakan sebuah persembahan mega untuk peminat tetapi muncul cabaran lain yang meresahkan kumpulan itu.

Sepanjang Jun ini, sebanyak lima lagi konsert artis tempatan akan diadakan bertempat di pelbagai lokasi di ibu negara sekali gus mewujudkan persaingan dari segi penjualan tiket.

Sedar dengan situasi yang berlaku, Amir meluahkan kebimbangan terhadap penjualan tiket memandangkan konsert-konsert lain diadakan dalam jarak waktu yang dekat, termasuk ada yang bertindih tarikh.

“Cuma yang menjadi masalah sekarang macam mana nak tarik audiens beli tiket. Saya akui agak sukar kerana persaingan dengan banyak konsert lain.

“Sebenarnya keadaan sebegini tidak patut berlaku. Saya harap kalau berlaku lagi pada masa depan, satu jawatankuasa perlu diwujudkan untuk menyusun atur jadual supaya tidak berlaku lagi pertindihan.

“Seharusnya, kena bagi peluang untuk setiap artis fokus dengan persembahan tanpa ada gangguan. Apabila berlaku seperti ini, timbul kerisauan ada orang datang tak ke konsert kami. Tetapi benda dah jadi, takkan nak marah pula. Semuanya berbalik kepada rezeki masing-masing,” ujarnya.

Medley, Saari Amri

Sementara itu bercakap tentang persembahan pada malam konsert kelak, Amir mengakui mereka berdepan kesukaran memilih lagu-lagu terbaik memandangkan U.K’s memiliki banyak lagu yang popular.

Hal ini kerana, persembahan selama dua jam memungkinkan ada lagu yang dikehendaki peminat tidak dapat dipersembahkan pada malam konsert.

AMIR enggan memaksa diri sepanjang melakukan latihan kerana bimbang suaranya mengalami masalah menjelang malam konsert nanti. – MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

“Mulanya agak pening nak pilih lagu sebab nanti takut tak dapat puaskan hati semua orang. Jadi jalan selamat, kami buat segmen medley agar ada juga lagu-lagu popular lain dinyanyikan walaupun sedikit,” ujarnya.

Selain itu, Konsert Reunion 25 Tahun U.K’s turut menampilkan segmen istimewa apabila kumpulan itu akan mengundang individu yang paling banyak berjasa dalam menaikkan nama mereka, Saari Amri ke pentas berprestij tersebut.

Kongsi Amir, dia akan berduet dengan Saari menerusi lagu berjudul Kita Sama Saja yang terkandung dalam sebuah album kompilasi.

“Segmen ini merupakan penghargaan untuk dia kerana disebabkan Saari, saya masih dapat rezeki menyanyi sehingga sekarang. Banyak lagu ciptaannya jadi popular dan malar segar sehingga ke hari ini,” katanya.

Tiket konsert yang dianjurkan oleh Mac Training Centre Sdn. Bhd. bersama RCD Concepts Sdn. Bhd. tersebut dijual pada harga bermula RM111 hingga RM999 dan boleh didapati menerusi laman web http://ilassptickets.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI