PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru agar kawal selia lebih komprehensif melibatkan ekonomi halal boleh disatukan menerusi penubuhan Suruhanjaya Patuh Syariah.
Beliau berkata, pada masa ini, cadangan kawal selia sedia ada lebih terhad kepada sektor kewangan Islam melalui Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.
Menurut beliau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula, melakukan kawal selia bagi industri halal.
“Oleh itu, kawal selia lebih komprehensif boleh disatukan misalnya melalui penubuhan Suruhanjaya Patuh Syariah.
“Saya menyeru saranan ini dapat diberi perhatian sewajarnya agar aspirasi menjadikan Malaysia sebagai model rujukan utama dalam bidang ekonomi halal dapat direalisasikan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi Kali Ke-2 di Hotel Le Meridien di sini hari ini.
Hadir sama Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman dan Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Jefridin Atan.
Pada majlis tersebut, Perdana Menteri turut melancarkan Dana Endowmen Ekonomi Halal Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) UKM dan HRMIS Blockchain@UKM.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, pada masa ini, ekonomi halal dilihat lebih mencakupi dan berkembang sekitar sektor kewangan dan makanan, sekali gus memperlihatkan kewajaran kepada semua pihak bahawa aspek itu perlu diberikan perhatian dan diperbetulkan.
“Kepesatan kewangan Islam antaranya dipacu oleh permintaan masyarakat terhadap sistem bebas riba, mempunyai unsur gharar dan masyir (spekulasi atau perjudian) selain adanya juga kawal selia dan model pengembangan sistem kewangan Islam yang tersedia di peringkat global.
“Justeru, Pelan Induk Ekonomi Halal harus diupayakan dan diusahakan oleh pemegang taruh untuk memperkasakan ekonomi halal. Ini dilakukan dengan meningkatkan peranannya dalam pelbagai sektor ekonomi halal dalam pembangunan negara,” katanya.
Mengulas tentang pelancaran Dana Endowmen Ekonomi Halal FEM UKM itu, beliau berkata, tujuan utama penubuhan dana endowmen ini adalah membangunkan kepemimpinan dalam penyelidikan dan pendidikan dalam bidang ekonomi halal.
Katanya, ia meliputi bidang sains dan teknologi serta sains kemanusiaan.
“Saya menyambut baik penubuhan Dana Endowmen Ekonomi Halal ini dan berharap usaha ini dapat memperkasakan aktiviti akademik dan intelektual dalam bidang ekonomi halal agar Malaysia dapat menerajui agenda ekonomi halal di peringkat pengajian tinggi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE