PETALING JAYA – Ekoran keceloparan mulutnya yang disifatkan tidak sensitif berhubung status duda pelawak Shuib pada siaran langsung Anugerah Meletop Era 2021 (AME2021) malam tadi, pelakon Datuk Rosyam Nor menerima kecaman hebat netizen.
Rosyam atau nama sebenarnya, Mohamed Noor Shamsuddin yang bertindak sebagai penyampai anugerah bersama dilihat melakukan provokasi sepertinya memaksa Shuib, 38, untuk menamatkan status duda sekali gus menimbulkan situasi kurang menyenangkan di atas pentas.
“Rosyam Nor tanya Shuib dalam stesen televisyen nasional ‘kau duda terhangat sekarang. Dah lapan bulan ni kan, ada pengganti?’.
“Shuib nampak sangat tak selesa (dengan soalan yang ditanyakan) tetapi berjaya menangani situasi berkenaan secara profesional, namun Rosyam terus memaksa untuk jawapan,” ciap seorang pengguna Twitter.
Sementara itu, ada dalam kalangan netizen yang menyifatkan perbuatan Rosyam, 55, sebagai biadab.
“Tidak berniat untuk tidak menghormati Rosyam Nor tetapi dia biadab atau bagaimana? Kasihan Shuib kena jawab dan terpaksa senyum. Ingat kelakar ke? Tolonglah matang sikit,” coret seorang netizen.
Malam tadi, disebabkan acap kali diasak soalan tentang status duda, diminta ‘move on’ dan mencari pengganti isterinya, Allahyarham Siti Sarah, Shuib secara spontan berkata: “Kau apa hal? Lu ingat lu gangster ke?”
Bagaimanapun, barangkali untuk meredakan suasana tegang, Shuib atau nama lengkapnya, Shahmira Muhammad menerangkan, bahawa dia hanya berseloroh atau berlakon di atas pentas.
Kehidupan Shuib bersama empat anaknya sering menjadi perhatian umum selepas Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos tahun lalu akibat jangkitan Covid-19.
Rosyam ketika dihubungi Kosmo! berkata, dia enggan memberi sebarang komen lanjut berkenaan isu tercetus kerana tidak mahu netizen terus berkata-kata.
“Maaf, saya tidak mahu beri apa-apa komen tentang apa yang telah berlaku. Saya malas nak layan apa yang diperkatakan atau digembar-gemburkan netizen,” katanya.- KOSMO! ONLINE