SAINGAN musim baharu Netball Super League (NSL) pastinya cukup berbeza buat pasukan Selangor Angels apabila bakal mempertaruhkan sebahagian besar pemain baharu pada kejohanan tersebut.
Paling dirasai oleh pasukan Selangor adalah kehilangan khidmat penjaring terbanyak musim lalu, An Najwa Azizan yang mengambil keputusan untuk berkelana ke pasukan naib juara 2021, Johor Jewels.
Meskipun kehilangan khidmat An Najwa yang dianggap sebagai tunjang pasukan, namun pemain tengah Selangor, Nur Firra Syuhada Hasrin percaya mereka mampu untuk memberikan saingan.
Katanya, pasukan itu berharap untuk menampilkan aksi lebih baik pada saingan musim ini biarpun menjelaskan hampir 80 peratus pemain dalam pasukan Selangor adalah muka baharu.
“Saya masih bermain untuk pasukan Selangor pada musim ini dan saya akui sudah tidak sabar menunggu saingan 2022 membuka tirainya. Kejohanan ini sangat penting kerana dapat berikan pengalaman berharga kepada setiap pemain.
“Selain itu, fokus pasukan juga adalah untuk memperbaiki setiap kelemahan bagi memastikan kami dapat menampilkan aksi lebih baik berbanding saingan musim lalu walaupun,” kata pemain kebangsaan itu.
Meskipun musim baharu kali ini NSL memberi kebenaran untuk menggunakan khidmat pemain import dari luar negara, namun Selangor tetap menaruh sepenuh kepercayaan terhadap kemampuan pemain tempatan.
“Boleh dikatakan hampir 80 peratus dalam pasukan adalah pemain baharu kerana banyak rombakan dilakukan pada tahun ini. Selangor tidak menggunakan khidmat pemain dari luar negara, jadi kami bergantung sepenuhnya kepada pemain tempatan,” ujar Firra.