JOHOR BAHRU – Seorang wanita menanggung kerugian hampir RM500,000 setelah terjerat cinta lelaki warga asing yang hanya dikenali di media sosial.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, wanita berusia 40-an yang ‘mabuk cinta’ itu melakukan 20 transaksi pemindahan wang kepada lelaki berkenaan sejak tahun lalu.
Katanya, wanita yang merupakan pekerja swasta itu menyedari dia menjadi mangsa penipuan ‘love scam’ setelah membuat transaksi terakhir kepada lelaki warga asing itu semalam dan bertindak membuat laporan polis.
“Wanita itu mengalami kerugian RM500,000 ditipu oleh lelaki warga asing yang hanya dikenali di media sosial sahaja dan tidak pernah berjumpa walaupun sekali tapi rela memberi wang sebanyak itu.
“Perkara ini amat dikesali kerana masih berlaku walaupun sudah diingatkan berkali. Suspek menyasarkan mangsa yang belum berkahwin dan kesunyian sebagai sasaran,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Raya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati dengan mana-mana individu yang tidak dikenali termasuk mereka yang menawarkan pulangan pelaburan.
Katanya, kegiatan scammer ini boleh dikesan apabila mereka meminta untuk melakukan pemindahan transaksi melibatkan pelbagai nombor akaun bank. -KOSMO! ONLINE