Saudara pengarang,
RASANYA sudah terlalu lama saya mendengar ura-ura sebuah hospital akan dibina di Semenyih, Selangor untuk kemudahan penduduknya.
Ia ekoran populasi yang semakin bertambah dari tahun ke tahun disebabkan kepesatan projek perumahan di daerah itu.
Namun selepas bertahun berlalu cerita Hospital Semenyih akhirnya menjadi ‘legenda’ yang tidak diketahui kesahihannya hingga ke hari ini.
Keperluan sebuah hospital dibina di Semenyih sangat berasas memandangkan populasi penduduknya yang semakin meningkat.
Saya selaku warga Semenyih sejak tahun 2006 menyaksikan sendiri peningkatan komposisi penduduknya yang berbilang kaum.
Bagaimanapun hingga kini penduduk Semenyih terpaksa ‘berkejar’ ke Hospital Kajang yang terletak hampir 20 kilometer dari Beranang untuk menerima rawatan termasuk kes kecemasan.
Kemudian terpaksa pula berdepan dengan kepadatan di Hospital Kajang yang kini terpaksa menampung begitu ramai pesakit dari segenap kawasannya.
Perlu menunggu sehingga empat atau lima jam sebelum selesai menjalani rawatan (bagi kes pesakit luar) bukanlah sesuatu yang aneh di situ.
Keperluan sebuah hospital dibina di Semenyih juga pernah dibangkitkan oleh ahli politik dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 2019.
Kementerian Kesihatan (KKM) ketika itu malah menyatakan bersedia membina hospital di Semenyih sekiranya menerima ‘lampu hijau’ Kementerian Kewangan.
Ini menunjukkan bahawa pentadbiran kerajaan Selangor mahupun Persekutuan memahami keperluan penduduk Semenyih tersebut.
Entah mengapa penduduk Semenyih seolah-olah terus dianaktirikan sedangkan permintaan Hospital Semenyih bukanlah sesuatu yang keterlaluan.
Beberapa anggota kejiranan saya pernah melontarkan alternatif jika pembinaan Hospital Semenyih amat sukar untuk dipenuhi kerajaan.
Mencadangkan Klinik Kesihatan Beranang dinaik taraf sebagai hospital dengan penambahan fasiliti rawatan dan wad memandangkan keluasannya.
Ini satu cadangan yang harus dipandang positif kerana ia sekali gus mengurangkan bebanan Hospital Kajang dan dapat menampung kes kecemasan dari kawasan berhampiran Semenyih.
Yang berharap,
Warga Semenyih