fbpx

Pesawah kurang modal harap takdir hujan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alias menunjukkan keadaan sawah di bendang Peraksi, Pasir Puteh yang kering kontang akibat kemarau.

PASIR PUTEH – Kira-kira 30 pesawah yang mengusahakan kawasan bendang di Peraksi dan Chalok di sini terpaksa menggunakan kaedah lama iaitu bergantung kepada air tadahan hujan untuk mengusahakan tanaman mereka sejak 20 tahun lalu.

Bagaimanapun, bagi yang berkemampuan, kaedah enjin pam untuk mendapatkan sumber air ke sawah antara yang diusahakan bagi memastikan bendang mereka subur terutama pada musim kemarau.

Seorang pesawah, Alias Mat Rani berkata, kaedah enjin pam memerlukan mereka mengeluarkan perbelanjaan lebih termasuk untuk membeli petrol bagi menarik air dari kawasan parit berhampiran.

Hal ini kerana katanya, kawasan bendang seluas 118 hektar itu tidak mempunyai kemudahan saliran dan tali air seperti bendang lain di daerah ini, ditambah pula dengan cuaca kemarau ketika ini.

“Bagi petani yang berkemampuan, mereka menggunakan kaedah itu (pam enjin) untuk ta­naman musim ini. Bagaimanapun, ramai lagi yang tidak mampu dan terus mengharapkan takdir agar hujan bagi memenuhi keperluan tanaman.

“Kebanyakan pesawah di sini menanam padi varieti Putra, IS21 dan MR927 yang sepatutnya memerlukan infrastruktur pertanian sesuai dengan teknologi terkini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di bendang Peraksi di sini semalam.

Mengulas lanjut, Alias berkata, Pejabat Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak perlu meneliti keperluan golongan petani yang mengusahakan tanaman padi sebanyak dua musim dalam tempoh setahun.

Seorang lagi pesawah, Mansor Awang Teh, 59, berkata, petani di kawasan itu sentiasa mengadakan solat hajat sebelum menabur benih agar hujan bagi memenuhi keperluan tanaman padi untuk tempoh 120 hari.

“Saya hanya mengharapkan bekalan air hujan dan berse­rah kepada takdir kerana tidak mampu membeli enjin pam yang mahal,” ujarnya.

Katanya, tempoh penanaman padi musim ini agak lewat kerana kebanyakan bendang masih ke­ring kontang disebabkan musim kemarau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI