AUSTIN, Texas – Gabenor Texas, Greg Abbott mendedahkan bahawa seorang penderma yang enggan identitinya didedahkan telah menawarkan wang AS$175,000 (RM766,325) untuk menampung kos pengebumian kesemua 21 mangsa pembunuhan beramai-ramai di sebuah sekolah di bandar Uvalde, lapor portal MailOnline kelmarin.
Abbott mengumumkan berita itu pada satu sidang akhbar dan berkata, semua kos pengebumian mangsa akan diuruskan.
“Seorang penderma misteri yang menghadiri mesyuarat berhubung tragedi ini telah menyediakan dana AS$175,000 bagi memastikan bahawa semua waris mangsa tidak perlu memikirkan kos pengebumian anak mereka.
“Tiada keluarga yang perlu bimbang tentang kos berkenaan dan apa sahaja berkaitan dengan ketidakadilan yang telah berlaku ini,” jelas Abbot.
Abbott tidak memberikan sebarang petunjuk tentang siapa penderma itu walaupun ada yang membuat spekulasi bahawa beliau mungkin bilionair Tesla, Elon Musk yang menetap di Austin.
Abbot turut memaklumkan bahawa negeri Texas juga akan menyediakan kaunselor kesihatan mental bagi memastikan sesiapa yang memerlukan bantuan kaunseling akan menerima rawatan yang diperlukan.
“Semua orang di negeri ini, sama ada terlibat secara langsung atau tidak dengan tragedi tersebut, layak mendapatkan rawatan mental yang disediakan.
“Pihak kerajaan negeri percaya anda akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan penjagaan kesihatan mental bagi memulihkan semangat selepas apa yang telah berlaku,” ujarnya.
Abbot juga berkata, perkhidmatan penjagaan kesihatan mental itu adalah percuma kepada semua orang.
“Semua perkhidmatan ini percuma, anda cuma perlu tampil dan meminta bantuan kerana kerajaan sangat prihatin akan impak peristiwa hitam ini ke atas seluruh komuniti,” katanya. – Agensi