KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kereta Perodua Myvi berwarna putih yang tular di media sosial memandu dengan berbahaya di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), dipenjara sebulan dan didenda RM16,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali menjatuhkan hukuman itu terhadap M. Yuvarajan, 32, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa kereta jenis Perodua Myvi warna putih dengan cara melulu yang membahayakan pengguna jalan raya lain.
Bagi pertuduhan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun.
Sementara pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan nombor pendaftaran palsu, mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang didakwa mengikut akta sama, yang membawa hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM20,000 atau penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), pukul 5.30 petang pada 7 Mei lalu.
Bagi pertuduhan pertama mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM8,000 manakala bagi pertuduhan kedua mahkamah turut menjatuhkan hukuman denda jumlah yang sama.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda berjumlah RM16,000 itu.
Kosmo! Online 11 Mei lalu melaporkan pemandu kereta Perodua Myvi berwarna putih yang tular di media sosial memandu dengan berbahaya di MRR2) selain membuat provokasi terhadap kereta lain baru-baru ini berjaya diberkas.
Kejadian berlaku ketika mangsa sedang memandu di Jalan MRR2 berhampiran Taman Layang-Layang, namun secara tiba-tiba sebuah Perodua Myvi dengan nombor pendaftaran yang berada di hadapan bertindak membrek sedikit-sedikit.
Ekoran itu telah menyebabkan mangsa hampir berlanggar dengan kereta terbabit sebelum suspek mengeluarkan sebatang kayu panjang melalui tingkap keretanya sambil menjerit-jerit, namun mangsa tidak pasti apa yang dituturkan lelaki itu. – KOSMO! ONLINE