BEIJING – Sebuah rumah mayat di bandar Shenzhen, China diarahkan untuk membuat ujian calitan Covid-19 ke atas mayat yang dihantar untuk upacara pembakaran, lapor akhbar Daily Star UK semalam.
Arahan itu dibuat selepas Shenzhen mencatat keputusan sifar kes Covid-19 selama 72 jam lepas.
Arahan ujian calitan ke atas mayat itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga supaya pekerja rumah mayat tidak dijangkiti oleh individu yang mungkin meninggal dunia akibat Covid-19.
Sekiranya mayat tersebut didapati positif Covid-19, ia akan dikuarantin terlebih dahulu sebelum prosedur seterusnya dilakukan.
Syarat tersebut menimbulkan kemarahan penduduk tempatan yang menganggapnya sebagai tidak menghormati orang yang sudah mati.
Seorang pengguna laman sosial tempatan, Weibo menulis kenyataan berbaur sindiran mengenai sekatan Covid-19 oleh pemerintah yang tidak berakhir walaupun selepas rakyat menjadi mayat.
“Mungkin saya perlu memakai pelitup muka sehingga saya menjadi mayat, memegang keputusan ujian calitan di dalam keranda sebelum mayat saya dibenarkan untuk dibakar,” tulisnya. – Agensi